Bukan Islam Konservatif, tapi laksana islah tajdid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS bukan parti konservatif Islam kerana pembahagian sedemikian juga tidak wujud dalam agama ini, melainkan penghayatan islah dan tajdid, demikian jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Penegasan tersebut dinyatakannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, petang semalam.

“Nabi sebut sendiri dalam Hadis, akan berlaku tiap-tiap abad kalangan umat aku, gerakan pembaharuan. Menandakan bahawa, zaman berubah. Bila berubah, maka berlaku pembaharuan.

“Contohnya, zaman Nabi, bila Nabi menegakkan Kerajaan Islam di Madinah, masa itu Abu Bakar jadi Khalifah, hasil tak banyak. Di mana gaji pegawai kerajaan, antara ketua dengan anak buah, sama. Sama sahaja gaji dia.

“Kemudian zaman Saidina Umar, bila Islam sudah dapat menguasai Parsi dan Rom, dapat menghayati tamadun baru, mereka melihat sistem pergajian, ‘grade’ gaji, mengikut kedudukan kemahiran seseorang. Ini perubahan yang dibuat oleh Islam.

“Contohnya dalam masalah kerakyatan di mana, masa Nabi berada di Madinah dan di Makkah, yang ada ialah orang Islam, Yahudi, Kristian. Hindu dan Buddha tak ada. Jadi dengan sebab itu ayat-ayat Quran yang turun di situ mengatakan, rakyat ialah ahli kitab.

“Apabila Islam berkembang sampai ke Benua India, adanya masyarakat Hindu, masyarakat Buddha. Walaupun pendakwah yang datang ke Asia Tenggara, mereka adalah Mazhab Syafie,” kemukanya.

Jelasnya, Imam Syafie lahir di Makkah Madinah yang tiada rakyat beragama Hindu atau Buddha, sekali gus pegangan para ulamak Mazhab Syafie bahawa rakyat mestilah orang Islam, Kristian, Yahudi, Majusi.

Oleh itu terangnya, apabila para ulamak ini datang ke Asia Tenggara di mana penduduknya Hindu dan Buddha, mereka mengambil pandangan Mazhab Hanafi yang hidup di India dan di Iraq sebagai tajdid dalam masalah tersebut.

“Ini pembaharuan sebagai contoh. Dalam masalah meneroka tanah umpamanya, di mana Nabi mengatakan, meneroka tanah tanpa izin kerajaan, bebas.

“Imam Abu Hanifah yang hidup di Iraq, di Baghdad, negeri yang penduduknya padat, tanahnya subur, memerlukan kawalan. Buka tanah mesti diizin oleh kerajaan,” ujarnya memberi pencerahan terhadap perkara berkaitan. – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -