Tuduhan ambil wang Umno jadi kes mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuduhan kononnya PAS menerima wang daripada Umno sebagaimana fitnah disebarkan telah menjadi kes yang dibicarakan mahkamah di England, demikian maklum Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Menurutnya, kes tersebut telah dibawa atas nama individu dirinya iaitu Abdul Hadi Awang melawan Sarawak Report memandangkan prosedur di sana tidak membolehkannya difailkan atas nama parti politik.

Perkara tersebut dijawabnya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan dari syarikat media itu di Shah Alam, sebentar tadi.

Beliau juga menyangkal tuduhan fitnah tersebut di mana menurutnya tidak logik dan tidak boleh diterima akal kerana PAS melawan Umno, termasuk hingga mereka kalah teruk di Kelantan dan Terengganu.

Bahkan katanya, PAS melawan Umno sehingga bertanding lebih daripada 170 kerusi di mana tentunya hal tersebut tidak wajar untuk Umno memberi wang kepada PAS bagi melawannya.

Beliau juga menolak tuduhan bahawa terdapat pemimpin PAS yang menerima wang daripada Umno, selain tidak mempunyai kerjasama baik dengan Umno mahupun PH pada PRU14 lalu.

Sebaliknya tegas beliau, PAS mengambil jalan tengah dengan membentuk kekuatan sendiri menerusi Gagasan Sejahtera yang menggabungkan banyak NGO serta parti-parti politik lain.

Di mana dengan itu ujarnya, PAS mendapat undi popular sebanyak 18 peratus dengan kedudukan 18 daripada 222 kerusi Parlimen dan 90 daripada 500 kerusi Dun, selain memerintah dua negeri.

“Dan mendapat kerusi yang banyak juga di Pahang dan kita ada wakil di kebanyakan negeri, kecuali di Sabah, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan,” kemukanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2018

- Advertisement -