Pindaan AUKU: Politikus jangan ambil kesempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik cadangan KPM pimpinan Dr Maszlee Malik dalam meminda dan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang baru sahaja diluluskan semasa sidang Dewan Rakyat, kelmarin.

- Advertisement -

Seksyen yang dimansuhkan itu memperuntukkan larangan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti parti politik di dalam kampus-kampus universiti dan kolej universiti awam.

Presiden PKPIM, Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, walaupun cadangan tersebut kelihatan bermanfaat demi kepentingan mahasiswa, PKPIM menegaskan bahawa cadangan tersebut mestilah tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah mahupun pembangkang terutama para pemimpinnya untuk mempergunakan mahasiswa dalam melebarkan pengaruh politik mereka di universiti.

Katanya, dalam perkembangan berkaitan, walaupun PKPIM melihat pindaan ini tidak menyeluruh dan hanya menguntungkan parti politik bagi membuka cawangan mereka di kampus, perkara ini haruslah dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa untuk menerapkan semangat demokrasi dalam diri masing-masing melalui pendidikan kewarganegaraan dan perbincangan ilmiah mengenai isu-isu semasa tempatan serta antarabangsa.

Justeru, katanya PKPIM memohon agar pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak lagi menjadikan mahasiswa sebagai boneka politik mereka terutama dalam pilihan raya kampus dan mempergunakan mereka untuk melaksanakan agenda sempit politik kepartian yang tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

“PKPIM juga akan terus memastikan janji kerajaan bagi memansuhkan AUKU dalam tempoh lima tahun sebagaimana jaminan Kementerian Pendidikan dan manifesto Pakatan Harapan tidak dimungkiri,” ujarnya dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 12/12/2018

- Advertisement -