PH cipta agenda politik pramatang

- Advertisement -

ADA yang menyifatkan #DaulatHimpunan 812 Sabtu lepas paling berjaya sejak merdeka. Kata mereka paling ramai, paling tenteram dan paling bersih.

- Advertisement -

Kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dato’ Seri Wan Ahmad Wan Omar, ia petanda positif Melayu-Islam.

Sebaliknya anak Tun Abdul Rahman Ya’kub pula menyifatkan himpunan ICERD untuk menangkan Israel. Abdul Naser menulis, ia seperti kabilah Quraisy zaman jahiliah yang hanya mempertahankan ketuanan di bumi Makkah.

Apa pun hujah banyak pihak Daulat 812 mengatasi Himpunan Bersih 1.0 pada 10 Oktober 2007. Bersih 1.0 juga diadakan pada hari Sabtu, bermula jam 3 petang.

Bersih merupakan akronim Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil. Turut dianggotai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI).

Kesemuanya 26 NGO memayungi Bersih 1.0. Parti politik pula mewakili DAP, PKR dan PAS. Ia mencatat sejarah apabila berjaya menghimpun 100,000 peserta di Dataran Merdeka.

Setahun selepas Bersih 1.0 pakatan pembangkang berjaya menafikan hegemoni Barisan Nasional (BN) di Parlimen. BN dan Umno hilang kuasa dua pertiga.

Selain itu Selangor, Perak dan Kedah tumbang ke tangan pembangkang. Berputik dari situ lahir Pakatan Rakyat (PR).

Persoalannya apakah DaulatHimpunan 812 bakal mengulangi sejarah serupa. Namun apa yang pasti bukan tahun depan. Mungkin tahun 2023. Tunggu lebih empat tahun lagi.

Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menjejaki usia 97 tahun. Boleh dibilang dengan jari kelibat warga emas di usia itu.

Biar apa pun, fenomena yang berlaku 8 Disember lepas mendebarkan parti pemerintah. Sedangkan 10 tahun lepas Umno bimbang hubungan politik PAS-DAP boleh menggugatkan BN.

Ternyata gabungan Cina sosialis dan Islamis serta reformis berjaya menafikan kuasa magis BN di parlimen pada PRU 2008 dan 2013.

Namun gugatan itu belum cukup kuat. Nikah mutaah PR terbubar begitu sahaja. Perbezaan ideologi umpama langit dan bumi. Sosialis boleh akrab dengan reformis yang jarang bersuara tentang dakwah dan akidah.

Namun PAS ada dusturnya. Ketika itu PAS terpaksa berdepan serangan tubi Umno kerana akrab dengan DAP. Kata mereka PAS parti kluk klik, sekali boleh, sekali tidak boleh berkawan parti bukan Melayu.

Mungkin ramai lupa-lupa ingat. Ketika itu DAP ada kitab Umar Abdul Aziz. Sekarang entah kitab mana pula. Sejarah yang berlaku tersebut sukar difahami generasi media sosial.

Penyatuan ummah

Di tengah kekalutan era Malaysia Baharu tiba-tiba muncul pula penyatuan ummah. Mungkin tidak boleh disalahkan PAS atau Umno, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) sendiri mencipta fenomena itu.

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi titik mula. Kali ini PAS, Umno dan NGO Melayu-Islam bergabung menghadapi ancaman ICERD.

Di titik itulah Umno kembali berpaut di pentas PAS. Mungkin mengulangi apa yang diilham arwah Tun Razak Hussin pada 1973.

Paksi penyatuan Melayu ketika itu selepas tragedi 13 Mei 1969. Semua parti termasuk PAS dan Gerakan dipujuk sertai BN. Pancingan awal Tun Razak bermula dengan kerajaan campuran di Kelantan pada 1973.

Menariknya sejarah 1974 seperti dibiarkan berulang. Salah siapa sebenarnya. Mungkin tindak tanduk menteri PH juga. Isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya turut memulakan kisah.

Beberapa menteri dan Ahli Parlimen PH menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis daerah Subang Jaya, susulan kejadian itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilapor menyifatkan polis daerah Subang Jaya mengeluar kenyataan tidak bertanggungjawab.

Rentetan peristiwa itu seakan-akan memulakan noktah awal penyatuan ummah. Malah ada pihak berhujah isu ICERD dan rusuhan di kuil membangkit semangat orang Melayu.

Maka Dataran Merdeka menjadi medan ratusan ribu umat Melayu berhimpun. Salah PH juga mencipta politik pramatang. – HARAKAHDAILY 12/12/2018

- Advertisement -