Di mana kekuatan PAS yang tak pernah hilang?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kekuatan PAS bukan terletak pada jumlah kerusi dimenangi atau keberadaannya dalam kerajaan, tetapi pada suara parti dalam Parlimen dan pengisian kemenangan yang dilaksanakan.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tanpa menafikan jumlah kerusi penting, tetapi PAS telah buktikan suaranya walaupun hanya mempunyai satu kerusi sebagai pembangkang dalam tahun 1955.

Perkara demikian diungkapkannya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang telah dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam pada petang tadi.

“(Walaupun satu) Kerusi yang sangat bermakna sehingga kita berjaya menyedarkan Umno di masa itu, meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Tak ada makna kerusi kita banyak, tetapi suara Islam tidak kuat.

“Kita dapat menyaksikan bagaimana mereka yang terlibat dalam Amanah (PAN) itu tidak boleh, tidak berani menyuarakan pandangan Islam terhadap rakan-rakan mereka yang daripada kalangan lain,” ujarnya.

Menjawab soalan moderator, beliau menyatakan rasa syukurnya kerana golongan yang menjadi masalah kepada PAS dengan membawa agenda lain telah kalah pemilihan muktamar, keluar parti dan membentuk parti baru.

Mereka itu menurutnya, hendak membawa perubahan yang tidak selaras dengan dasar, prinsip, konsep dan matlamat perjuangan PAS, serta mahu mengubah kepimpinan dalam parti.

“Kalau mereka jujur dengan parti, mereka tak keluar daripada parti. Kita pernah lihat bagaimana Almarhum Dr Haji Abbas Alias yang tak dipilih menjadi Presiden parti. Dia terus berkhidmat.

“Almarhum Ustaz Hassan Syukri, bertanding Timbalan Presiden, tak dipilih. Terus jadi khadam kepada parti,” ujar beliau merujuk sikap ahli dan pimpinan yang telah pergi ke PAN.

Beliau juga mengemukakan bahawa PAS mempunyai kekukuhan kerana mempunyai akar tunjang kuat seperti pokok yang walaupun dicantas dahan, namun tidak hilang, sebaliknya diganti banyak dengan tumbuh tunas baru.

Bahkan menurutnya, PAS bukan semata-mata disertai golongan ulamak, tetapi penglibatan profesional telah berawal sejak penubuhannya seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Abbas Alias, Prof Ahmad Ibrahim, Prof Ungku Omar, Aminuddin Baki dan lain-lain lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2018

- Advertisement -