Ratifikasi ICERD: Mengimbas kembali

- Advertisement -

DALAM ucapannya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 September 2018, Tun Dr. Mahathir, antara lain, berkata: “9. Malaysia baru akan menyokong prinsip-prinsip yang dipromosikan oleh PBB dalam hubungan antarabangsa kami. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan (keadilan), kesaksamaan (fairness), tanggungjawab dan akauntabiliti, serta kemapanan (sustainability). Dalam konteks ini, kerajaan baru Malaysia telah berjanji untuk meratifikasi semua instrumen PBB teras yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia. Ia tidak akan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah sebuah negara pelbagai etnik, berbilang agama, pelbagai budaya dan berbilang bahasa. Kami akan memberi ruang dan masa kepada semua untuk membincangnya dan membuat keputusan secara bebas berdasarkan demokrasi.” (Terjemahan saya)

- Advertisement -

Selepas itu, Waytha Moorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), walaupun konvensyen-konvensyen antarabangsa bukanlah terletak di bawah bidangkuasanya, seolah-olah telah mengambil alih bidangkuasa mengenainya daripada Menteri Luar. Beliaulah yang paling banyak mengeluarkan kenyataan mengenainya seolah-olah tidak sabar lagi hendak meratifikasinya.

Kita boleh faham mengapa beliau berbuat demikian. Pertama, sebagai Pengerusi HINDRAF, beliau telah lama dendam terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, yang, bagi beliau, ibu segala diskriminasi, yang mestilah di hapuskan. Videonya yang diambil di Belanda sepuluh tahun sebelumnya yang menjadi tular itu adalah bukti yang tidak dinafikan beliau.

Kedua, beliau hendak menjadi wira masyarakat India. Walaupun beliau tidak bertanding dalam PRU 14, Tun Dr. Mahathir telah melantik beliau menjadi Ahli Dewan Negara. Tidak cukup dengan itu, beliau dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial).

Bagaimana seorang Pengerusi HINDRAF boleh dilantik menjadi Menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial tidak boleh difahami. Bagaimana seorang yang begitu bencikan hak keistemewaan orang Melayu dan berjuang untuk menghapuskannya akan mewujudkan perpaduan kaum? Apabila hak keistimewaan orang Melayu hendak dihapuskan untuk menghapuskan diskriminasi antara kaum, tidakkah orang Melayu (dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak) akan bangun menentangnya? Ia bukan akan mengukuhkan perpaduan. Ia akan menggugat perpaduan.

Jika orang Melayu kurang tahu penglibatan Waytha Moorty dalam HINDRAF dan apa itu HINDRAF, apa yang dilakukannya pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai seorang Ahli Dewan Negara sudah cukup untuk menjauhkan mereka daripadanya. Dengan membawa seorang sami (bagi orang Melayu) dengan rupa yang menyebabkan dia (patut atau tidak) dipanggil “hantu,” sudah cukup untuk merenggangkannya daripada orang Melayu, jika tidak dibenci pun.

Ditambah dengan videonya di Belanda yang ditularkan di mana beliau menuduh kaum India didiskriminasikan, beribu-ribu kuil Hindu dimusnahkan dan orang-orang India dipaksa memeluk agama Islam, telah menyebabkan orang Melayu menolaknya.

Tidak cukup dengan itu, beliau mengeluarkan pula kenyataan bahawa Kuil Shri Mariamman tidak akan dipindahkan walau pun mahkamah telah membuat perintah dengan persetujuan bahawa ia hendaklah dipindahkan setelah pampasan dibayar. (Pampasan telah pun dibayar.) Maka, lebih daripada 200,000 orang Melayu menandatangani menuntut beliau meletak jawatan atau disingkirkan daripada jawatan Menteri.

Tun Dr. Mahathir cuba membela beliau. Tetapi, itu adalah satu tindakan yang memakan diri sendiri. Dalam hal ini Tun Dr. Mahathir tidak ada pilihan lain lagi: akui kesilapannya dalam melantik Waytha Moorthy sebagai Menteri dan menyingkirkannya.

Walaupun ICERD terletak di bawah bidangkuasanya Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah tidak banyak bercakap mengenainya. Tetapi, kenyataannya bahawa orang yang menentang ICERD tidak faham Perlembagaan Persekutuan, ternyata tidak membantu beliau.

Tetapi, ada seorang Menteri yang menyibuk walau pun ICERD bukanlah terletak di bawah bidangkuasanya; Dato Seri Mujahid. Mula-mula beliau telah membangkitkan semula RUU Harmoni. RUU Harmoni telah digubal oleh Majlis Peguam bagi pihak Jawatankuasa Kecil Undang-Undang dan Dasar yang dipengerusikan oleh beliau. Jawatankuasa itu terletak di bawah Menteri Perpaduan pada masa itu, Bernard Dompok. RUU Harmoni telah digagalkan apabila Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri pada masa itu, terpaksa membuat U-turn mengenai janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Beliau semestinya kecewa dengan kegagalan itu. Sekarang beliau sendiri menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Walau pun bidangkuasa beliau ialah hal ehwal agama Islam, beliau menyatakan hasratnya untuk menghidupkan semula RUU Harmoni, selepas itu berkata, oleh sebab RUU Harmoni tidak terletak di bawah bidangkuasanya, beliau akan menyerahkannya kepada Waytha Moorthy.

Apa hubungannya RUU Harmoni dengan ICERD? Jawabnya: tujuan RUU Harmoni dan ratifikasi ICERD adalah sama: untuk menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Setelah gagal menjadikan RUU Harmoni undangundang, kumpulan berkenaan mengguna taktik baru: membuat ratifikasi ICERD dan membawa semula RUU Harmoni untuk dijadikan undang-undang. Kita perlu mengambil perhatian bahawa Menteri Luar sekarang adalah seorang ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dilantik oleh Bernard Dompok, dahulu. Apatah lagi dengan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Dato’ Seri Mujahid, rakan-rakannya dan penulis-penulis yang menyokong ICERD, menghujahkan, hampir kesemua negara-negara Islam meratifikasi ICERD, mengapa kita menentang?

Adalah nyata mereka berhujah berdasarkan fakta yang salah. ICERD adalah singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum. Diskriminasi yang dilarang oleh ICERD adalah diskriminasi kaum, bangsa dan warna kulit, bukan diskriminasi agama.

Soalnya, adakah perlembagaan negara-negara Islam itu mempunyai peruntukan seperti Perkara 153 (menganai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak), Perkara 8(4)(f) (yang menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (mengenai Tanah Rizab Melayu)? (Kita mempuyai peruntukanperuntukan itu sebagai ganti persetujuan orang Melayu memberi hak kerakyatan kepada orang bukan Melayu.)

Jika perlembagaan negara-negara itu tidak mempunyai peruntukan-peruntukan seperti itu, maka jika mereka meratifikasi ICERD pun tidak menjadi masalah kepada mereka, sebab tidak ada percanggahan di antara peruntukan ICERD dengan peruntukan perlembagaan dan dasar negara mereka. Itulah bezanya di antara kedudukan Malaysia dengan negara-negara itu. Jika hendak menetapkan hukum yang sama, faktanya hendaklah sama.

Sekarang, Tunisia yang maratifikasi ICERD telah membolehkan perempuan-perempuan Islam berkahwin dengan lelaki bukan Islam. Adakah kita juga akan mengikutinya? Adakah itu salah satu akibat ratifikasi ICERD? Saya katakan, itulah yang yang dituntut oleh orang-orang bukan Islam di Malaysia.

Dari awal, saya menentang ICERD kerana ia bercanggah dengan peruntukan Perkara 153, 8(4)(f) dan 89 dan dasar kerajaan Barisan nasional mengenai UiTM, MRSM, FELDA, ASNB dan lain-lain. Meratifikasi ICERD akan menyebabkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan undang-undang berkenaan terpaksa dipinda atau dimansuhkan dan dasar-dasar itu dihapuskan.

Merasai tekanan orang Melayu, pada hari Jumaat 23 November 2018, Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination – ICERD). Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak soaial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.”

Dalam ucapan saya di Kongres Menolak ICERD di PWTC pada 25 Disember 2018, saya berkata, walaupun kenyataan itu memuaskan, kita perlu menerimanya dengan waspada. Ini kerana pertama Kerajaan tidak boleh memberi jaminan konvensyen itu tidak akan diratifikasikan di masa hadapan. Perdana Menteri mungkin bertukar. Malah, kita sudah pun ada Perdana Menteri menunggu. Kita tidak tahu apa pendiriannya. Jika Perdana Menteri tidak bertukar pun, mungkin tekanan terhadapnya di dalam kerajaannya sendiri, terlalu kuat hingga beliau terpaksa membuat U-turn. Semenjak 9 Mei 2018 pun, kita telah melihat beberapa kali U-turn dibuat. Satu lagi bukanlah mustahil.

Kedua, selepas itu, dua orang Menteri dan Perdana Menteri menunggu berdolak-dalik dalam Parlimen bahawa ia hanya ditangguh untuk dikaji selanjutnya. Maka, timbullah soalan: mana satu yang betul, tidak akan meratifikasi atau ditangguhkan?

Ketibaan saya dengan ambulans untuk menyampaikan ucapan di PWTC itu mengakibatkan saya menerima fitnah yang sangat jahat daripada dua orang perempuan Cina (mengikut nama dalam facebook mereka, besar kemungkinan dari kumpulan Red Beans) yang meletakkan gambar saya bersebelahan gambar Datuk Hasanah Abdul Hamid dan di atasnya diletakkan kata-kata berikut:

No wonder he came in an ambulance to encourage the protest to go on. To save his spy daughter.” (Tidak hairanlah dia datang dengan ambulans untuk menggalakkan bantahan diteruskan. Untuk menyelamatkan anaknya, seorang spy.”

Di atas gambar saya terdapat kata-kata “Abdul Hamid ex Chief Judge, pro-Najib, angry his daughter arrested.” (“Abdul Hamid, bekas Ketua Hakim pro-Najib, marah anaknya ditangkap.”)

Di atas gambar Datuk Hasanah terdapat kata-kata “Hasanah Abdul Hamid MIEO ex chief spy arrested (pro-najib)”. (“Hasanah Abdul Hamid MIEO bekas ketua spy ditangkap (pro najib)”.

Mengikut perbezaan umur kami, jika beliau anak saya, saya kenalah berkahwin semasa berumur 12 atau 13 tahun!

Sementara semua itu berlaku, 8 Disember 2018 semakin hampir. Sambil pihak penganjur perhimpunan 812 yang terdiri daripada PAS, UMNO dan NGO-NGO Melayu/Islam sibuk membuat persediaan, penyokong-penyokong ratifikasi sibuk menabur fitnah, memperkecil dan memperbodohkan perhimpunan itu.

Dua tiga hari sebelum 8 Disember, tersibar pula berita bahawa SUHAKAM akan menganjurkan perhimpunan Hari Hak Asasi Manusia pada hari yang sama, di sebelah pagi di Petaling Jaya dan Perdana Menteri akan melancarkannya.

Itu nampak seperti satu usaha untuk menarik orang ramai daripada menghadiri perhimpunan di Dataran Merdeka itu.

Petang hari Jumaat, 7 Disember 2018, manakala bas-bas yang membawa pesertapeserta dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu sama ada telah sampai ke Kuala Lumpur, dalam perjalanan atau telah bertolak dan daripada maklumat yang diperolehi, boleh dianggarkarkan berapa banyak peserta yang akan hadir, maka keluarlah berita bahawa perhimpunan anjuran SUHAKAM itu ditangguhkan kepada hari Ahad, 9 Disember 2018 atas nasihat Polis dan Perdana Menteri.

8 Disember 2018 menjadi satu hari yang amat bersejarah. Mungkin berkat solat hajat ribuan peserta di atas jalan raya, hujan yang turun hampir setiap petang disertai oleh ribut dan petir itu pun “direhatkan” petang itu.

Biar berapa pun jumlah peserta yang dianggarkan, perhimpunan itu menempah sejarah dalam tiga perkara:

1. Ia adalah satu perhimpunan yang terbesar dalam sejarah negara ini;

2. Ia adalah satu perhimpunan orang Melayu yang terbesar sepanjang sejarah.

3. Ia adalah satu perhimpunan yang paling aman dan bersih dalam sejarah negara. Tiada satu saman dikeluarkan dan tiada sekeping kertas atau satu sampah yang ditinggalkan.

Petang itu, datang satu berita baik daripada Tun Dr. Mahathir. Di sidang media selepas mesyuarat president parti-parti dalam Pakatan Harapan, beliau memberi tahu bahawa beliau tidak akan menghadiri perhimpunan anjuran SUHAKAM pagi esoknya. Alasannya sangat menarik “Kerajaan telah memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD. SUHAKAM masih hendak meneruskannya. Bagaimana saya hendak hadir?”

Itu adalah satu kemenangan bagi perhimpunan 812.

Sambil kita boleh merasa lega seketika, kita tidak boleh leka. Ada beberapa konvensyen lagi yang perlu diberi perhatian. ICERD pun mungkin hendak diratifikasi semula di masa hadapan. SUHAKAM terang-terang berdegil ia akan terus “menasihatkan” (baca menekan) kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi kesemuanya. DAP, NGO-NGO bukan Melayu dan orang bukan Melayu tentu sebulat suara di belakang mereka. Mereka ada kepentingan diri. RUU Harmoni mungkin hendak dibawa ke Parlimen semula.

Yang nyata, apa yang berlaku hari ini adalah “kejayaan” Waytha Moorth (dan kerjaan Pakatan Harapan) dalam masa enam bulan: menyebabkan ketegangan antara kaum terburuk semenjal 13 Mei 1969, genap 50 tahun.

Saya fikir, bukan sahaja Waytha Moorty patut disingkirkan, portfolio perpaduan itu juga patut dihapuskan. Sudah lebih 200 tahun orang Cina dan India datang ke sini, tidak pernah ada ketegangan kaum antara orang Melayu dengan mereka, selain 13 Mei 1969, itu pun disebabkan oleh ahli-ahli politik. Rakyat boleh hidup dengan aman dan tenteram jika ahli politik tidak “menjolok” mereka.

Pada masa yang sama, penghasut hendaklah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengambil kira mereka penyokong kerajaan Pakatan Harapan atau bukan. Pelaksanaan undang-undang janganlah dipolitikkan, jika mahu ianya berkesan. – HARAKAHDAILY 11/12/2018

- Advertisement -