Dikawal Menteri bukan Islam, cetus sensasi panik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa mengenai Tabung Haji (TH) dikhuatiri mewujudkan panik pasaran yang menghilangkan keyakinan awam kepada institusi itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, keraguan juga timbul berikutan TH juga diumum akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu agensi Kementerian Kewangan.

“Ia menambah persoalan rakyat terhadap skop kawal selia oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) terhadap institusi tabungan pencarum dalam kalangan umat Islam ini. Apa yang akan dikawal? Apa yang bawah seliaan agensi berkenaan?

“Adakah ia akan menyekat TH dari meneruskan dasar ‘baik hati’ selama ini yang sentiasa memberi pulangan bagus kepada para pendeposit TH? Adakah ia juga akan mengganggu keupayaan TH mengekal kos haji pada kadar yang mampu?

“Adakah institusi tabungan lain pun dirujuk ke bawah kawal selia BNM seperti yang dikenakan kepada TH, misalnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)?

“Saya khuatir sensasi yang ditimbulkan dari penggunapakaian panduan perakaunan baru yang bukan piawaian Jabatan Audit Negara mewujudkan panik pasaran yang menghilangkan keyakinan awam kepada TH,” ujarnya bimbang.

Tegas beliau, TH masih pilihan terbaik dan selamat untuk orang Islam mendeposit wang dan mendapat pulangan untung terbaik setiap tahun, selain tiada isu besar dalam pengurusan operasi haji, selain kos haji yang masih munasabah.

Menurut Ahmad Amzad, setakat maklumatnya, TH sudah mematuhi semua keperluan di bawah Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995, misalnya hibah dibayar dari Keuntungan Boleh Agih (Distributable Profit).

Hal itu terangnya, bukan sepertimana ditohmah kononnya hibah dibayar dari suntikan pendeposit baharu, kerana petunjuknya terdapat dalam Laporan Beraudit TH untuk tahun 2017, 2016 dan 2015.

Begitu juga katanya, Seksyen 22(3) di mana TH mesti wujudkan Dana Simpanan (Reserve Fund) menurut Seksyen 21(1) akta yang sama juga telah dipatuhi.

Terangnya, itu termasuk Laporan Beraudit 2015, 2016 dan 2017 jelas menunjukkan aset melebihi agregat liabiliti, di mana semua itu sekali gus turut mematuhi Seksyen 22(3)(a) dan (b).

“Isu timbul dari beberapa pelarasan perakaunan oleh juru audit Price Waterhouse Coopers yang baru dilantik yang sebahagian bukanlah piawaian yang diwajibkan. Ia hanya panduan, bukan standard.

“Laporan Beraudit TH telah bertahun-tahun diaudit oleh Jabatan Ketua Audit Negara. Ia bukan isu penyelewengan atau ada wang dicuri atau hilang,” jelas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 11/12/2018

- Advertisement -