ICERD: Pengkhianat Melayu dipergunakan DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS bukan sahaja parti politik, tetapi juga adalah parti dakwah yang membesarkan kepentingan Islam lebih dari segala-galanya, demikian kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

- Advertisement -

Malah ujarnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan, PAS tidak pernah berubah dasar dan keputusannya terhadap sebarang isu di mana sentiasa bersama Islam ataupun akan membawa kebaikan kepada Islam.

Kerana itulah menurutnya, PAS bukan sahaja boleh bersama pihak atau parti lain termasuk Umno, malah parti Islam itu juga pernah mengikat hubungan dengan DAP walaupun secara ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

“Yang bermakna selagi tidak ganggu gugat, tidak halang untuk kita laksana Islam. Hingga sampai pada satu ketika (DAP) sebut (dalam pemerintahannya) di Pulau Pinang, akan laksana sepertimana pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Jadi PAS mengambil kesempatan bersama mereka untuk menyampaikan dakwah Islam. Tetapi apabila mereka jelas menentang Islam, maka PAS tidak lagi bersama mereka,” tegas beliau.

Beliau menyuarakan kekesalan terhadap kalangan Menteri-menteri dalam PH yang tidak mampu untuk menyuarakan kepentingan Islam dan keadilan untuk orang Melayu di mana seperti ‘bersorak di kampung’ sahaja.

“Mereka dipergunakan oleh musuh-musuh Islam cuba bawa ratifikasi ICERD ini. Ada juga pengkhianat Melayu yang dipergunakan DAP, dia mencari pelbagai hujah untuk menyatakan kesilapan kita membantah ICERD.

“Mereka mencari segala hujah menjustifikasikan kehendak mereka meratifikasi ICERD dalam usaha kononnya untuk bawa keadilan kepada semua. Sedangkan Islam telah menjamin keadilan untuk semua,” kemukanya.

Bahkan beliau menolak dakwaan pihak tertentu bahawa berlakunya paksaan memeluk Islam, sedangkan Allah tegaskan dalam al-Quran tiada paksaan di dalam Islam di mana perkara itu tidak pernah berlaku pun.

Beliau mengajak umat merenungi sikap sesetengah pihak kini yang bangkit dan menuding serta menyalahkan Islam dengan pelbagai tuduhan setiap kali hal ehwal berkaitan Islam dibangkitkan. – HARAKAHDAILY 10/12/2018

- Advertisement -