Himpunan 812, kejayaan anak muda

- Advertisement -

HIMPUNAN keramat 8 Disember telah melakar sejarah tersendiri.

- Advertisement -

Kebanjiran peserta, lebih 75 peratus adalah anak muda. Komitmen petugas, lebih 90 peratus terdiri daripada anak muda, khususnya Jabatan Amal yang segak bergaya.

Himpunan yang berlangsung secara aman dan penuh tertib ini mempunyai tujuan tersendiri.

Himpunan ini bukan untuk mencetuskan provokasi, tetapi sebagai tanda solidariti terhadap kerukunan Perlembagaan dan kesyukuran ICERD tidak diratifikasi.

Himpunan ini bukannya untuk menghalau rakan berbangsa India dan Cina, tetapi bagi menzahirkan ketegasan untuk menghormati hak dan keistimewaan yang telah disepakati selama ini.

Himpunan ini juga bukannya untuk menunjukkan kekuatan orang Melayu, tetapi bagi mengingatkan anak bangsa bahawa kesatuan dan kesepakatan adalah tapak untuk terus kukuh berdiri.

Justeru, momentum himpunan ini tidak boleh terhenti di sini.

Himpunan 812 wajar menjadi titik permulaan ke arah perubahan dalam negara yang hakiki. Islam dijulang di tempat tertinggi, setiap bangsa dengan saksama dilindungi, kemajuan ekonomi dipacu bersama untuk dikongsi.

Masih belum terlewat untuk kesilapan lalu diperbaiki.

Perpecahan dan hasad dengki sesama bangsa adalah musuh sebenar yang perlu dijauhi. Rasuah dan korupsi adalah barah busuk yang perlu dibasmi.

Paling penting adalah untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan pemuda dan pemudi.

Inilah masanya anak muda wajib mendaftarkan diri sebagai pengundi, melibatkan diri dalam lapangan NGO dan politik, serta cakna berwacana dan berdiskusi.

Himpunan 812 yang didukung ribuan anak muda ini menjadi saksi bahawa negara perlu diurus mengikut cara kita yang tersendiri.

Negara kita, cara kita, setiap tanah ada pewarisnya.

Jika mendongak ke puncak menara, jangan dilupa kukuh tapaknya;
Jika melihat masa depan negara, jangan dilupa pemuda pemudinya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
9 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 9/12/2018

md2

- Advertisement -