Hanya DAP parti berideologi dalam PH

- Advertisement -

KOTA BHARU: Empat parti yang bergabung membentuk Pakatan Harapan (PH) tiada ideologi yang jelas dalam perjuangan mereka kecuali DAP.

- Advertisement -

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, ideologi DAP berteras kepada sosialis yang mahu menyamaratakan kehidupan rakyat.

Katanya, perjuangan mahu menuntut sama rata tersebut dianggap antara punca yang mencetus suasana kegawatan dalam politik.

Menurutnya selepas tiga tahun parti itu muncul di pentas politik di negara ini berlaku ketegangan kaum pada 1969.

“Parti itu cuba membawa semangat yang berbeza seperti mahu merombak apa yang sudah disepakati ketika negara mencapai kemerdekaan,” katanya pada ceramah bantah ICERD di Dataran Warisan di sini malam tadi.

Beliau yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, ketika berkunjung ke Mesir semasa mempunyai kedudukan dalam kabinet, pelajar di sana menanyakan bila beliau mahu menyertai PAS.

“Namun malam ini Allah Taala mempertemukan saya dengan pemimpin-pemimpin PAS di satu pentas ceramah bagi mempertahankan agama Islam dan orang Melayu.

“Biar pun saya tidak menyertai PAS tetapi saya berkongsi pentas dengan PAS bagi meneruskan perjuangan yang sama. Umno dan PAS sudah berusia lebih 60 tahun.

“Tidak perlu lagi berkahwin kerana masing-masing sudah tua, kalau tidak pun boleh jadi besan kerana mempunyai anak yang ramai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2018

- Advertisement -