Pemerintahan Islam dan dasar terbuka kerakyatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam bukan demokrasi, teokrasi atau kediktatoran, tetapi lebih dekat dengan demokrasi, namun berbeza dari demokrasi Barat, demikian jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Terangnya, kediktatoran memberi pemerintah kuasa mutlak, manakala teokrasi memberi kuasa kepada ahli agama, di mana semua Nabi-nabi menentang para raja dan ahli agama yang berlagak menjadi tuhan atau menyalahgunakan kuasa.

“Islam lebih dekat demokrasi, hak kepada rakyat. Namun berbeza dengan demokrasi Barat. Kerana Islam memberi hak rakyat melalui Ahlil Halli Wal Aqdi, iaitu pemimpin-pemimpin rakyat berpengaruh,” ujarnya.

Perkara tersebut dinyatakannya ketika menjawab soalan moderator pada program Memperingati Itqan al-Muluk Bita’dil as-Suluk di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Namun tegasnya, sangat penting Islam menjadi agama negara dan perkara tersebut termaktub dalam Itqanul Muluk yang merupakan Undang-undang Diri Negeri Terengganu, kerana Islam mempunyai kemampuan memerintah.

Hal tersebut perinci beliau, bukan sahaja ke atas penduduk bermajoriti Islam, bahkan sekalipun bukan Islam adalah majoriti negara sebagaimana dibuktikan Nabi Muhammad S.A.W ketika mentadbir Madinah.

“Oleh kerana Islam mempunyai kekuatan adil yang mutlak dan hak yang tidak pernah diberi oleh agama, fahaman atau pemerintahan lain (menyebabkan) Islam berjaya meng-Islamkan penduduknya.

“Bahkan ketika Islam datang ke Alam Melayu, yang Islamnya raja, (tetapi) majoriti rakyat adalah penganut Hindu dan Buddha. Tetapi (tidak berlaku) orang bukan Islam dipaksa menganut Islam,” kemukanya.

Beliau turut menarik pendengar terhadap kebijaksanaan para ulamak di Alam Melayu masa itu termasuk yang menggubal Itqanul Muluk di mana tidak menyebut mengenai mazhab dalam perbahasan berkaitan.

Contoh diutarakan beliau ialah di dalam kitab fekah Mazhab Syafie yang diizinkan menjadi rakyat adalah penganut agama kitabi; Yahudi, Kristian dan Majusi sahaja, tidak kepada Hindu dan Buddha.

Sedangkan ulamak di Alam Melayu termasuk yang menggubal Itqanul Muluk bermazhab Syafie, namun kerana memahami masalah ijtihad, mereka membuka pintu kepada penganut agama lain sehingga seluruh orang Melayu masuk Islam.

Perkara tersebut bagaimanapun katanya, lebih dekat dengan ijtihad oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik di mana mazhab mereka berkembang di Iraq, India dan Afrika yang mempunyai pelbagai agama. – HARAKAHDAILY 6/12/2018

- Advertisement -