“Nabi nak jumpa aku tak?”

- Advertisement -

“JOM teman aku ziarah Nabi sat,” kedengaran suara Ustaz Azizan di hujung telefon mengajak saya menziarahi Makam Nabi S.A.W.

- Advertisement -

“Insya-Allah, boleh, ustaz. Sekejap lagi saya pergi ke bilik untuk ambil ustaz,” balas saya.

Sebaik sampai di hadapan bilik beliau, saya mengetuk pintu sambil memberi salam. Dari dalam, kedengaran suara beliau menjawab salam sambil membuka pintu.

“Nak buat apa wheel chair ni? Awat, hang ingat aku tak larat ka?,” Ustaz Azizan memberi respon dengan nada yang agak tinggi. Seolah-olah terkejut dengan kehadiran saya bersama kerusi roda untuk menolak beliau.

“Biar saya tolak ustaz. Nanti ustaz tak letih sangat. Ustaz boleh simpan tenaga. Banyak lagi ibadah kita nak buat,” saya memujuk beliau.

“Kalau orang tengok, nanti apa orang kata kat aku? Menteri Besar tak larat, naik wheel chair,” Beliau membidas.

“Ustaz tutup muka. Orang tak kenallah,” balas saya dengan nada bergurau.

“Pandai hang no.”

Kami sama-sama ketawa memecah kesunyian laluan di bilik hotel berkenaan.

Akhirnya beliau bersetuju untuk menaiki kerusi roda yang ditolak oleh saya. Sengaja saya mahukan beliau untuk berkerusi roda bagi memberi kerehatan kepada beliau. Selain itu, inilah peluang buat saya berkhidmat kepada seorang ketua yang saya anggap seperti ayah saya sendiri.

Meski beliau dikenali sebagai seorang yang garang, layanan mesra beliau terhadap pegawai-pegawainya amat istimewa, ibarat seorang ayah terhadap anaknya. Dalam ketegasan, terselit kelembutan.

Setelah beliau mengambil tempat duduk di atas kerusi roda, saya mula menolak beliau ke muka pintu lif. Ustaz Azizan menutup kepala beliau dengan kain serban sehingga menutupi wajahnya. Sepanjang perjalanan dari hotel ke Makam Nabi S.A.W, kami disapa sebanyak dua kali.

Seorang yang menegur kami memperkenalkan dirinya berasal dari Negeri Perak. Beliau bertanya perihal kesihatan ustaz, dan bilakah ustaz sampai di Madinah.

“Ramai kawan hang di sini,” Ustaz Azizan bersuara kepada saya.

Laaaa. Saya tak kenal, ustaz. Saya ingatkan kawan ustaz,” balas saya dengan nada penuh kehairanan.

Laa. Aku pun tak kenal. Aku ingat kawan hang,” balas Ustaz Azizan.

Kami kehairanan.

“Jauh lagi ka?,” tanya Ustaz Azizan kepada saya. Nada suaranya berubah. Saya merasakan suatu kelainan pada nada suara beliau.

“Nak sampai dah, ustaz,” balas saya.

Tiba-tiba, saya terdengar esakan tangis. Tersedu-sedu. Saya kaget. Tangisannya semakin kuat.

Saya terus menolak beliau tanpa mengeluarkan sebarang suara. Tetapi dalam hati, timbul seribu satu persoalan tentang sebab musabab beliau menangis.

Sebaik tiba di hadapan pintu Babus Salam, saya berhenti menolak kerusi roda tersebut. Saya bergerak ke hadapan sambil merendahkan badan.

Kelihatan air mata beliau mengalir laju. Saya sendiri mulai sebak.

“Ya Rabbi…,” hati kecil saya berbisik. Tiba-tiba sebak menerkam dada.

“Ustaz, ada apa-apa yang tak kenakah?,” tanya saya dengan nada sayu.

Beliau menggeleng.

“Kenapa, ustaz?,” Saya bertanya lagi. Saya sendiri menahan sebak melihat beliau menangis.

Gelengan beliau semakin kuat. Seperti budak-budak sedang menangis. Air mata beliau mengalir laju membasahi pipi.

Beliau enggan menyatakan kenapa beliau menangis. Saya terus mendesak.

“Kenapa ni, ustaz?,” tanya saya lagi.

“Aku nak mai jumpa Nabi ni. Nabi nak jumpa aku dak?,” Tangisan beliau semakin kuat.

“Ya Allah…,” saya tersentak. Perasaan syahdu tiba-tiba menusuk ke dalam diri.

Tidak pernah saya terfikir. Dalam keseronokan menziarahi Baginda Nabi S.A.W, adakah kedatangan kita ini ‘disambut’ baik oleh Baginda? Adakah kita akan dibangkitkan di Mahsyar nanti di belakang Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W? Adakah Baginda akan mengaku kita sebagai umatnya dan layak menerima syafaat daripada Baginda?

Saya tergamam buat seketika. Sepanjang tempoh datang ke Bumi Madinah, tidak pernah saya mendengar kata-kata sedemikian daripada mutawif yang membimbing jemaah umrah mahupun haji.

Dari jauh, gelagat kami diperhatikan oleh pengawal Pintu Babus Salam.

Hajji! Hajji!,” Pengawal pintu memanggil kami sambil memberi isyarat mengarahkan kami masuk menziarahi Makam Rasulullah S.A.W.

Saya terus menolak beliau dalam suasana syahdu. Saya membiarkan beliau terus melayani perasaan sedih sehinggalah kami selesai melawat Makam Nabi Muhammad S.A.W.

Di saat saya menziarah Makam Baginda kali ini, terbayang-bayang kelibat saya menolak beliau menuju ke Pintu Babus Salam. Tidak dapat saya lupakan tangisan beliau sambil berkata:

“Adakah Nabi mahu berjumpa aku? Apakah Nabi mahu mengaku aku sebagai umatnya?”

Saya terpana.

“Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa Allahyarham Ustaz Azizan Bin Abdul Razak. Kau bangkitkanlah beliau di akhirat kelak sebagai umat Baginda Nabi S.A.W. Kau kurniakanlah syafaat Baginda Nabi S.A.W kepada beliau. Ya Allah, Kau pertemukanlah aku dengan beliau di syurga-Mu nanti, ya Allah.”

ZAKARIA OTHMAN
Madinah Al-Munawwarah
Khamis
6 Disember 2018
28 Rabiul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 6/12/2018

- Advertisement -