ICERD: Kenyataan JPM boleh berubah

subky
- Advertisement -

JANGAN jadi macam Timbalan Menteri dari kerabat Istana Terengganu yang boleh dikira mahu melagakan rakyat yang anti ICERD dengan Istana Negara khususnya Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Himpunan sejuta baju putih yang diteruskan di Kuala Lumpur 8 Disember ini dikatakan bercanggah dengan ingatan Istana Negara. Raja dipercayai tidak mudah mengandaikan sesuatu isu yang dihadapkan kepada dan pertimbangan kerajaan serta yang dalam perhatian polis.

Raja jarang mencelah sesuatu masalah kecuali kerajaan dan polis buntu mengenainya seperti dikri Seri Paduka membatalkan Debat PAS-Umno awal 80-an dulu.

Timbalan Menteri yang belum mahir berpolitik, percubaan berpolitiknya dulupun atas anjuran PAS dan dia gagal, maka ulasan mentahnya anti himpunan sejuta itu dikira merbahaya, justeru ia boleh menjarakkan raja dengan rakyat.

Jangan jadi macam setengah ahli fatwa yang tidak mahir politik merasa puas hati dengan jaminan Jabatan Perdana Menteri, ICERD itu tidak jadi diratifikasi khususnya pada masa ini. Tetapi bagi mufti yang tahu ilmu politik, Maza dari Perlis setuju himpunn itu diteruskan.

Kenyataan JPM itu bersifat politik dan boleh berubah.

British membatalkan Malayan Union. Ia tidak jadi menghapuskan Raja, tetapi isi yang lain berjalan. Tun Razak beri jaminan draf ISA bagi menggantikan darurat tidak akan disalahgunakan, tetapi semua kata ia telah disalahgunakan.

Tunku Abdul Rahman Putra ketika membentangkan rang ISA memberi jaminan ia ditujukan kepada komunis saja. KPN Tun Hanif Omar kata, ia terkandung dalam hansard Parlimen saja, tetapi ISA menangkap siapa yang ia suka. PM Najib kata, akaun RM2.6 bilion dalam banknya derma diraja Saudi. Tiada keterangan royalti Mekah mengenainya.

Perlembagaan menjanjikan Bahasa Melayu jadi bahasa rasmi tunggal 10 tahun selepas merdeka. Selama 60 tahun merdeka Bahasa Melayu tidak pernah merasa jadi bahasa rasmi yang tunggal.

Lidah biawak itu bercabang. Himpunan baju putih 8 Disember ini adalah acara mengerat cabang lidah biawak itu supaya ICERD hapus selagi ada matahari dan bulan. Jangan tunggu ia jadi abu bersama tergulungnya langit dan bumi permulaan kiamat nanti.

Jika China tidak sedia menyamaratakan Tibet dengan sekalian warga China dan kerajaan India tidak benar jamaah haji bawa pulang air zamzam dan Kashmir tidak seperti wilayahnya yang lain, maka mengapa Malaysia dipaksa dengan ICERD yang bakal mengakhirinya dalam peta dunia?

Jika saya Cina, saya suka ICERD. Jika saya India, saya mahu ICERD. Tetapi saya Melayu. Bila saya terima, nescaya zuriat saya tidak akan berkhatan lagi. Samalah mereka dengan sekalian si kulup serta dunia.

Himpunan itu perlu, seeloknya ia diserta sekalian bukan Melayu, bukan pribumi, bukan Islam supaya harmoni rakyat selama ini boleh diteruskan. Mungkin betul tempoh lima tahun kerajaan PH sekarang tidak ratifikasi ICERD.

Sebagaimana Malayan Union batal tahun 1946, Malaysian Malaysia tidak bising lagi selepas Singapura dipisahkan tahun 1965, gejalanya panas semua hingga tercetus 13 Mei 1969 hingga seperti selepas itu, maka 50 tahun kemudian meletup pula ICERD.

Kini kerajaan kata, ia tidak diratifikasi. Sebenarnya ia ditawakuf. Tahun 2050 atau 2100 ia hidup semula. Maka himpunan 8 Disember dicampak ke dalam armada yang lalu lalang di Laut China Selatan bagi dibawa ke mana-mana.

Di darat ia mengancam Melayu/Islam, dicampak ke laut, nescaya pupus jerung dan paus. – HARAKAHDAILY 6/12/2018

- Advertisement -