Sebaris ayat Yaasin: Warkah buat pendakwah

- Advertisement -

IMAM ar-Razi menukilkan beberapa pengajaran yang menarik untuk ditekuni para pembaca berkenaan ayat ke-20 dari surah Yaasin.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T,

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya,

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku, turutlah Rasul-rasul itu!””

(Yaasin: 20)

Pemuda dari hujung bandar

Sifat dakwah yang dibawa para utusan Allah adalah sangat jelas. Sehingga diterima, diimani dan dijadikan pegangan seorang pemuda dari hujung bandar yang berada jauh dari lingkungan suasana ilmu yang kebiasaannya bertumpu di tengah pusat bandar.

Sunnah orang berdakwah

Kisah pemuda beriman yang berasal jauh dari hujung kota tersebut dirakamkan al-Quran sebagai sebuah kerehatan bagi hati para Sahabat Rasulullah, juga untuk meneguhkan hati mereka di jalan dakwah. Sebagaimana kisah dakwah ketiga-tiga utusan Allah dalam surah Yaasin tersebut berfungsi untuk menenangkan hati Rasulullah S.A.W.

Seorang lelaki

Sebutan al-Quran berkenaan pemuda tersebut dengan perkataan yang umum, tidak dikhususkan mengandungi hikmah untuk kita renungkan bersama. Antaranya ialah mengukuhkan kebenaran seruan para utusan Allah. Lalu dakwah mereka disambut oleh seorang lelaki yang tidak mereka kenali, tidak diketahui identitinya. Dengan itu, sejak awal lagi tertolak kemungkinan wujudnya pakatan atau konspirasi antara pemuda hujung kota dan tiga utusan Allah bagi melakonkan sokongan dakwah tersebut.

Bersegera dan bersungguh-sungguh

Sebuah didikan bagi golongan beriman agar mengikut jejak langkah pemuda tersebut yang bersungguh-sungguh dan berusaha keras di dalam menyampaikan nasihat dalam suasana dakwah berhadapan penolakan yang dahsyat.

Wahai kaumku

Penggunaan perkataan tersebut sarat dengan makna kelembutan dan menunjukkan kasih sayang. Ia juga sebagai dalil yang menjelaskan bahawa pemuda tersebut tidak mengharapkan apa-apa dari sasaran dakwahnya, melainkan hanya kebaikan untuk mereka. Mahukan mereka turut beriman.

Ikutilah utusan-utusan Allah

Tidak dikatakan “ikutilah aku”, memandangkan pemuda tersebut berasal dari pinggir bandar, bukan dari kalangan penduduk bandar itu sendiri. Dia tidak bersama-sama mereka. Sedangkan para utusan Allah itu telah menerangkan bukti kepada mereka dan menunjukkan jalan yang benar. Maka diseru agar mengikuti utusan tersebut, bukan dirinya. Peranan beliau menyokong dakwah para Rasul tersebut sangat besar sehingga dicatatkan di dalam al-Quran dengan perjalanan kisah seperti itu.

(Qasas as-Sabiqin, Syaikh Solah al-Khalidi)

●     Penawar bagi hati

Kadangkala Allah mentakdirkan dakwah kita disambut oleh mereka yang jauh dari capaian kita walaupun ditolak oleh mereka yang hidup dekat dalam lingkungan kita.

Adakala seruan kita walaupun seringkas “Praktikkanlah manhaj Rasul”, tetap beroleh ganjaran dan dinilai di sisi Allah S.W.T.

Biarpun sedikit kemampuan kita, yang penting kita tidak memandai-mandai mengubah suai dakwah Islam. Daripada mengajak masyarakat mengikuti cara Rasul kepada mengikuti manhaj selain para Rasul.

Seperti kisah pemuda kampung yang beriman di dalam Surah Yaasin.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 5/12/2018

- Advertisement -