Lapangan terbang Sultan Ismail Petra kedua sibuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary meminta penjelasan kerajaan apakah Lapangan Terbang Pengkalan Chepa berpotensi dijadikan Bandaraya Aeropolis pada masa hadapan.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan soalan itu semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bertindak sebagai sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merupakan lapangan terbang domestik kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Lapangan terbang ini mengendalikan 171 operasi penerbangan seminggu. Buat masa ini kerajaan hanya fokus kepada pembangunan KLIA aeropolis yang dikenal pasti sebagai salah satu teras strategik dalam pelan perniagaan Malaysia Airport Holding Berhad,” ujar beliau.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah Lapangan Terbang Pengkalan Chepa berpotensi dijadikan Bandaraya Aeropolis pada masa hadapan. Apakah Kerajaan bersetuju bahawa Kerajaan sebelum ini telah mendiskriminasikan Kelantan dalam soal pembangunan infra seperti yang berlaku kepada Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Marzuk turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan selain daripada KLIA yang disebut, di manakah lapangan terbang yang berada dalam rancangan pihak kementerian untuk dijadikan sebagai lapangan terbang aeropolis.

“Saya juga mohon penjelasan daripada pihak kementerian bagaimana dengan status pembesaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra yang terletak di kawasan parlimen yang saya wakili,” tambah beliau.

Menjawab soalan tersebut, Kamarudin berkata bagi lapangan terbang selain KLIA, mereka akan mempelajari daripada kejayaan atau sebaliknya di KLIA terlebih dahulu.

Bagi lapangan terbang di Pengkalan Chepa, kawasan tersebut tidak mempunyai keluasan yang mencukupi untuk pembesaran. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

- Advertisement -