Itqanul Muluk: Sultan dan ulamak hebat dalam politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Itqanul Muluk Bita’dil as-Suluk adalah undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu yang menunjukkan kehebatan Sultan dan ulamak, di mana mengingatkan umat Islam mengenai perkara besar dalam Islam iaitulah kewajipan menegakkan negara dan pemerintahan.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kewajipan khalifah yang disebut dalam al-Quran dengan makna menegakkan pemerintahan menjadi salah satu daripada tujuan Allah Taala menciptakan manusia.

Bahkan menurutnya, sepertimana dinyata al-Quran juga, semua Nabi-nabi A.S melibatkan diri dalam pemerintahan negara, sama ada mereka berjaya menegakkan negara ataupun tidak sempat melihat ianya ditegakkan.

Kerana itu jelasnya, Nabi Muhammad S.A.W berjuang tidak hanya di Makkah, tetapi juga berhijrah ke Madinah menegakkan negara dengan mempunyai Perlembagaan bertulis iaitu Sahifah Madinah memimpin masyarakat majmuk.

“Ramai kalangan kita tak sedar, Perlembagaan Madinah ini (ditulis) tahun 622 (iaitu) 1,000 tahun mendahului Revolusi Perancis tahun 1789 hingga 1799 (di mana) piagamnya menjadi kebanggaan Barat,” ujarnya.

Perkara itu dikemukakannya ketika menjawab soalan moderator pada program Memperingati Itqan al-Muluk Bita’dil as-Suluk di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Terangnya, Itqanul Muluk menunjukkan dua aspek utama yang terdapat pada jemaah Sultan dan jemaah Menteri penggubal Perlembagaan tersebut iaitulah dari segi ilmu politik dan juga strategi politik.

Jelasnya, dari segi ilmu politik, Perlembagaan itu menunjukkan mereka berjaya menyempurnakan antara rukun penting bagi sebuah negara selain negeri atau tanah, rakyat, pemimpin dan kedaulatan.

“(Dari segi) Strategi politik, kita melihat Itqanul Muluk ini untuk memintas campur tangan British dan penjajah selepas Perjanjian Pangkor 1874 dan Perjanjian Bangkok antara British dengan Siam 1909,” terang beliau.

Jelasnya, menjadi amalan diterima sebelum wujudnya undang-undang antarabangsa lagi di mana negara yang mempunyai perlembagaan diiktiraf kedaulatannya dan tidak boleh sewenang-wenangnya diceroboh.

Terakhir dicampur tangan

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, menariknya kesan Itqanul Muluk menjadikan Terengganu negeri paling akhir mendapat campur tangan daripada British iaitu tahun 1919 selepas wafat Sultan Zainal Abidin dan Tok Ku Paloh.

Tekanan selepas itu ceritanya, terlalu kuat selain lemahnya Kerajaan Uthmaniyah menyebabkan tidak ada yang melindungi dan Sultan Muhammad pula menjadi raja di mana bersikap keras dengan British tanpa diplomasi.

“Tekanan terlalu kuat, akhirnya Orang Besar buat keputusan terima Penasihat British campur tangan di Terengganu 1919. Oleh kerana Itqanul Muluk nyatakan mana-mana Raja menerima orang bukan Islam tak layak jadi raja, maka baginda letak jawatan.

“Kerana dia pegang zahir Itqanul Muluk. Pada saya dari segi politik itu tindakan salah, sepatutnya dia tak letak jawatan, kena lawan. Oleh kerana banyak Orang Besar setuju, hanya dua tiga orang tak setuju termasuk dia, maka dia letak jawatan.

“Menyebabkan Terengganu tak ada raja dan lantik Sultan Sulaiman yang masih muda. Maka berlakulah campur tangan British dan pemberontakan di Hulu Terengganu menyebabkannya gugur syahid,” ceritanya lagi.

Menarik juga katanya, Terengganu menjadi negeri pertama dimenangi PAS mendahului Kelantan pada Pilihan Raya 1959, bagaimanapun kelemahan yang ada menyebabkan hanya sempat bertahan selama dua tahun setengah. HARAKAHDAILY 6/12/2018

- Advertisement -