Itqaanul Muluk: Martabat Islam di Terengganu

KHALIL3
- Advertisement -

TARIKH 11 Zulkaedah 1329 bersamaan 2 November 1911 menjadi tarikh yang bersejarah bagi negeri Terengganu secara khususnya.

- Advertisement -

Sekali lagi Terengganu melakar sejarah kegemilangan Islamnya apabila almarhum Sultan Zainal Abidin III meletakkan Islam sebagai perlembagaan tertinggi bagi negeri Terengganu sekaligus mengisytiharkan Terengganu sebagai Wilayah Islamiyyah Malayuwiyyah. Tahun 2018 genap 107 tahun sejarah ini terukir, satu titik sejarah yang mesti diingati oleh umat Islam di Terengganu secara khususnya dan di rantau ini secara umumnya.

Apa yang dilaksanakan oleh almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah kesinambungan pelaksanaan Islam di negeri Terengganu yang terbukti daripada penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang. Ia sebagai bukti yang terpahat bahawa Islam telah dijadikan sebagai cara hidup khususnya di dalam urusan pemerintahan di bumi Serambi Madinah yang bersejarah ini.

Seterusnya campur tangan British yang berusaha untuk menjajah Terengganu; maka almarhum Sultan Zainal Abidin III, para ulama dan pembesar negeri telah melakukan satu langkah yang bijaksana untuk menyelamatkan Terengganu daripada tangan penjajah British dengan mewujudkan undang-undang tubuh bagi negeri Terengganu yang mana antara kandungannya ialah mengisyhtiharkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri Islam Melayu yang merdeka dan berdaulat dan menjadikan ugama Islam selama-lamanya sebagai ugama rasmi negeri dan kerajaan.

Perlembagaan Itqanulmulmuluk bi ta’dilissuluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul. Roh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah menggariskan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu, mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah.

Peletakan perlembagaan ini bertujuan untuk menyelamatkan negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah-penjajah asing. Ini kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan kesemua negara-negara umat Islam dijajah oleh penjajah-penjajah asing, maka tindakan almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan politik yang sangat bijaksana demi menjaga dan memelihara bumi Terengganu

Di zamannya dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana rujukan pelaksanaan hukum-hakam ini dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud al-Fatani dan lain-lain lagi. Ditambah lagi almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syara dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani.

Terdapat juga bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain. Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pernah menceritakannya dalam ucapan beliau ketika merasmikan Perayaan 100 tahun Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012, beliau mengisahkan satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri.

Pada tahun 1919 pihak penjajah British telah membatalkan perlembagaan Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk. Rentetan daripada itu ia telah membangkitkan penentangan rakyat Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang bangkit bagi mengembalikan semula Terengganu kepada landasannya yang asal. Antara langkah awal ialah tindakan beliau menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Tindakan tersebut telah menimbulkan ketegangan dengan pihak penjajah British sehingga tercetusnya peristiwa berdarah di Padang Kachung pada tahun 1928 yang telah mengorbankan 12 orang syuhada dan berakhir dengan pembuangan negeri ke Mekah terhadap Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong oleh pihak British.

PAS dan Perjuangan Memartabatkan Islam

Pada tahun 1948 tertubuhnya Hizbul Muslimin dan ianya dibubarkan pada tahun yang sama oleh pihak British dan pada tahun 1951 tertubuhnya Parti Islam Semalaysia (PAS) yang berjuang melalui pilihanraya bagi menubuhkan sebuah pemerintahan berlandaskan Islam.

Pada pilihan raya pertama yang diadakan pada 1959 PAS menyertainya dan memenangi negeri Terengganu dan Kelantan walaupun begitu pemerintahan PAS di Terengganu hanya bertahan sehingga 1961. Pada tahun 1999 sekali lagi PAS diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah Terengganu. Di antara langkah yang diambil ialah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) (Pindaan) 2003 yang telah dikemukakan oleh Adun Manir, almarhum Ustaz Dato Haji Harun Taib. Enakmen ini bertujuan mendaulatkan Al-Quran, As-Sunnah, ijma dan qiyas sebagai hukum tertinggi bagi negeri Terengganu Darul Iman. Di antara isi yang penting kepada penetapan undang-undang tubuh yang baru ini ialah kelulusan Kanun Jenayah Syariah termasuk hukum hudud, qisas dan ta’zir. Langkah ini dilihat sebagai untuk mengembalikan Terengganu ke landasannya yang asal yang gagal dilakukan oleh Umno yang memerintah Terengganu selama lebih daripada 40 tahun sebelum itu.

Tindakan kerajaan PAS Terengganu yang kembali memerintah setelah mencapai kemenangan dalam PRU14 lepas untuk menyambut dan memperingati 107 tahun Itqanulmuluk bi ta’dili ssuluk adalah satu tindakan yang terpuji dan sangat tepat pada masanya kerana dengan usaha ini sekurang-kurangnya memberikan peringatan kepada rakyat negeri ini akan kehebatan sejarah Islamnya dan sebagai komitmen kerajaan PAS Terengganu untuk terus memartabatkan Islam di bumi bertuah ini.

Perlu difahami bahawa kehebatan tamadun Islam bukan kerana kehebatan bangsa atau keturunan tetapi adalah kerana kehebatan roh Islam yang ada di dalam diri umat Islam itu sendiri. Kalau bukan kerana Islam bangsa Arab tidak mungkin boleh memerintah satu pertiga dunia di zaman Khulafa Rashidin, Kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah. Kerana Islam bangsa Monggol dan Tatar yang ganas tunduk dan jinak. Kalau bukan kerana Islam Salahuddin Al-Ayyubi tidak boleh menundukkan bala tentera Salib. Kalau bukan kerana Islam bangsa Turki tidak boleh menawan kota Konstantinopel.

Rakyat Terengganu perlu memuhasabah akan hakikat ini dengan mengingati titik peluh perjuangan orang terdahulu untuk mengekalkan pemerintahan Islam di bumi Darul Iman ini dan juga menginsafi bahawa jatidiri rakyat Terengganu adalah Islam yang telah membawa keunggulan mereka di Tanah Melayu ini bukannya dasar-dasar perjuangan yang lain.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok
27 Rabiul Awal 1440 / 5 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 5/12/2018

- Advertisement -