Waspada ‘kuman’ ICERD akan kembali menyerang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ICERD umpama kuman yang berada dalam badan manusia di mana ia diam ketika antibodi tubuh kuat, tetapi akan menyerang kembali apabila daya tahan diri lemah, demikian perumpamaan diingatkan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

- Advertisement -

Sehubungan itu, seru beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan, umat mesti bersatu menzahirkan kekuatan dengan bersama menyertai Himpunan Perdana Rakyat Bantah ICERD yang bakal diadakan di Ibu Negara pada hari Sabtu ini.

Tegas beliau, segala perkara termaktub dalam Perlembagaan Negara adalah perjanjian yang telah dipersetujui sejak zaman datuk nenek kepada generasi kini, di mana ia bukan sahaja telah menjamin keadilan dan keselamatan kepada umat Islam, tetapi juga penganut dan bangsa lain.

“Tiba-tiba sekarang perkara ini yang hendak diganggu. Menjadikan hal ini sebagai isu yang cukup besar, di mana menuntut seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kepada kedamaian dan keadilan, dia mesti bersama untuk mempertahankan negara ini supaya ratifikasi ICERD ini tidak berlaku. 

“Kerana apa? Kerana keadilan hari ini telah melata. Rakyat hari ini mendapat keadilan dengan perjanjian sedia ada,” ujar beliau menyeru rakyat pelbagai bangsa dan agama negara ini menunjukkan solidariti dan menghantar notis kepada Kerajaan PH.

Katanya, bangsa dan penganut agama lain yang didatangkan keturunan mereka dahulu bukan sahaja diterima sebagai sebahagian rakyat negara ini, bahkan boleh menjalani ibadah agama mereka tanpa halangan dengan segala persetujuan dimeterai dahulu.

Menurutnya, keghairahan pihak-pihak berkenaan bersungguh untuk ratifikasikan ICERD telah diberi amaran oleh Presiden PAS di dalam Parlimen apabila mengingatkan bahawa tidak susah baginya untuk mengumpulkan lebih sejuta rakyat berarak berkumpul di Kuala Lumpur kiranya kerajaan bertegas untuk laksanakan ICERD. 

“Saya sokong apa yang disebut oleh Presiden PAS dalam ucapan saya. Saya kata ratusan ribu, kalau pun tidak juta rakyat Kelantan akan berkumpul di Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk menentang ICERD ini daripada diratifikasikan. Walaupun hari ini tidak ada lebuh raya, tidak ada kereta api yang menghubungkan Kelantan dengan Kuala Lumpur.

“Akhirnya PH buat satu keputusan, sebut buat kenyataan bahawasanya ratifikasi ICERD ini tidak akan dilakukan. Itu kerana apa? Kerana masa ini antibodi kita kuat, kerana kita menunjukkan tentangan, kerana mendapat sokongan daripada rakyat, kerana kerajaan merasa terancam. Maka mereka menghentikan usaha sementara itu untuk meratifikasikan ICERD.

“Tapi Ingat, kiranya kita lemah, kita kembali lemah, kiranya himpunan pada 8 Disember ini tidak mendapat sokongan orang Melayu, orang Islam, orang cintakan kedamaian, maka sudah tentu perkara ini akan bangkit semula. 

“Sehubungan, saya menyeru supaya jutaan rakyat yang cintakan keadilan, mesti berhimpun menghantar notis kepada kerajaan bahawa kita serius untuk mempertahankan kedaulatan Islam dalam negara ini supaya ratifikasi ICERD ini tidak berlaku,” seru beliau.

Beliau turut menyanggah tindakan pihak tertentu yang memanipulasi kenyataan mantan Al-Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa akan diludahnya orang PAS jika mereka hendak bersama atau berbaik dengan Umno.

Jelas beliau, ucapan itu ternyata hanya diambil sekerat sahaja, sedangkan Almarhum turut menegaskan bahawa sekiranya Umno hendak melaksanakan Islam, PAS akan dibubarkan hari itu juga kerana yang penting bagi PAS adalah Islam.

“Hari ini mereka yang bersama dengan DAP menyerang kita dengan cukup kuat. Dia kata apa? Tok Guru dulu nak ludah orang yang nak bersama dengan Umno, orang yang nak berbaik dengan Umno, Tok Guru nak ludah. Eh dia ambil separuh ucapan Tok Guru. Tok Guru banyak kali sebut, hat berat sekali Tok Guru sebutnya.

“(Tok Guru kata) kalau Umno nak laksanakan Islam, hari ini amba (saya) bubar PAS. Bubar PAS, bukan setakat nak bersama dengan Umno, tetapi nak bubar PAS. Kerana apa? Kerana perjuangan Islam ini, pada masa itu telah dibawa oleh Umno. Itu Tok Guru,” ujarnya mengingatkan. – HARAKAHDAILY 4/12/2018

- Advertisement -