PAS konsisten tolak campur tangan luar

- Advertisement -

PASCA isu kekecohan antara Kuil Seafield dan pemaju One City Development Sdn Bhd, para Menteri, pemimpin PH, media kerajaan cuba mengherot isu untuk merosotkan sokongan rakyat yang menyokong Perhimpunan anti ICERD 8 Disember 2018 minggu ini. Isu kuil ini pasti dapat diselesaikan dengan sebaiknya dan suasana kembali tenang dengan kebijaksanaan pihak polis dan menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

- Advertisement -

Sekali lagi kami tegaskan himpunan ini ada beberapa justifikasi dan logik tersendiri.

Pertama kami akan terus membantah kerana tiada kenyataan sepadu dan tuntas daripada kerajaan untuk menolak ICERD dan beberapa ratifikasi Liberal antarabangsa yang bakal menggugat keharmonian hidup majmuk di Malaysia sekian lama.

Kami pro Perlembagaan dan kami mahu ia kekal sebegini dan ia juga seharusnya sejajar dengan janji PH untuk mengekalkan Perlembagaan serta menjaga hak Peribumi, Islam dan Raja Melayu.

Logik kedua adalah kami PAS konsisten menolak semua campur tangan antarabangsa terutama Barat terhadap konflik, senario politik dalaman negara.

Kami pernah bersama Pakatan Rakyat menolak APCO yang cuba campur tangan dalam sosio politik Negara kita walaupun Perdana Menteri ketika itu memberi pelbagai alasan.

Kami mendesak Pakatan Harapan mendedah hubungan mereka sekian lama bersama NGO Bersih, dan beberapa NGO lain serta parti politik bersama pihak Institut Republikan Antarabangsa (IRI) yang memberi dana untuk menggalakkan polisi politik berkiblatkan luar Negara. Walaupun banyak media Barat mendedahkan pihak Pakatan Harapan masih menafikan lagi.

Dalam isu 1MDB PAS konsisten mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya diRaja untuk menyiasat sehingga mendalam dan menolak sebarang campur tangan antarabangsa dan Amerika Syarikat khususnya kerana faham implikasi yang bakal Barat bawa kepada kita.

PAS yang berpengalaman dalam isu antarabangsa Asia Tengah tidak mahu Malaysia menjadi ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’ sebagaimana beberapa negara Asia Barat pasca Arab Spring yang melihat post Islamisme bertukar menjadi akar Liberalisasi dan Sekulariasasi yang makin mencengkam.

Penyusunan dan resepi kerukunan antara kaum selama ini sempurna dan tidak memerlukan sebarang resepi luar tambah tabah ICERD gagal memberi kemakmuran dan keharmonian kepada umat Islam di Palestin, etnik Uighur di China dan beberapa negara lain yang jelas masih mendiskriminasi umat Islam jauh lebih teruk.

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik/Timbalan YDP PAS Kawasan Sik – HARAKAHDAILY 4/12/2018

- Advertisement -