Maszlee buat gimik politik, ‘U-turn’ lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jaminan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia jelas bermotif politik dan balas dendam yang berterusan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, perkara tersebut tidak praktikal kerana sejarah adalah untuk dijadikan iktibar generasi akan datang, apatah lagi skandal 1MDB masih dalam siasatan.

“Tindakan Menteri untuk mengangkat isu 1MDB yang masih disiasat adalah satu gimik politik murahan. Ini bukan sahaja merosakkan reputasi Menteri berkenaan, malah rakyat akan rasa tertipu dengan Menteri dari Kerajaan PH.

“Jika nak berbuat demikian, siapkan juga Jawatankuasa Khas kaji sejarah peristiwa hitam Memali yang memakan korban. Siasat kembali dan selesaikan dengan telus. Angkat peristiwa tersebut sebagai satu bahan sejarah untuk diambil iktibar,” gesanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, untuk lebih berlaku adil dan tidak menipu serta menyembunyikan sejarah yang betul, maka perlu dimasukkan sama semua skandal lain.

Menurut beliau, agar tidak meninggalkan kelompangan di dalamnya, masukkan skandal-skandal selepas penubuhan Malaysia kerana buku teks Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia kini hanya terkandung fakta setakat penubuhan Malaysia.

“Skandal 1MDB hanya bermula tahun 2000 ke atas. Sedangkan skandal Memali, BMF, PKFZ, Perwaja, Forex, MAS, Petronas dan lain-lain, terutama semasa tempoh lama Perdana Menteri Keempat memerintah puluhan tahun.

“Banyak peristiwa berlaku (ketika itu). Tahanan ISA, tahanan reformasi politik, skandal nepotisme, kronisme. Pengkhianatan hak royalti 5 peratus kepada Kelantan dan hak pendaratan minyak di negeri Kelantan yang dilarikan ke Songkla, Thailand.

“Kalau (semua) perkara ini tidak dimasukkan dalam silibus sejarah dan terus kepada isu 1MDB, nanti sejarah kita akan lompang,” ulas beliau.

Penyataan dalam nada dan gaya beremosi Maszlee itu telah diungkapkannya ketika menjawab celahan daripada Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian) pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Beliau ketika itu sedang memberikan jawapan berhubung penggubalan kurikulum dan buku teks Sejarah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dari soalan asal oleh Ustaz Hasanuddin Yunus (PH – Hulu Langat).

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan itu menafikan laporan media yang mendakwanya menyebut kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah di sekolah, dalam satu kenyataan pada tengahari tadi.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, perkataan sejarah yang disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am. – HARAKAHDAILY 4/12/2018

- Advertisement -