Memenuhi syarat dan mengisi kemenangan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan mendapat kuasa pemerintahan adalah janji Allah yang bersyarat, yakni dianugerahkan apabila menunaikan kewajipan berjihad memperjuangkan Islam dengan harta dan jiwa raga, serta menyempurnakan rukun dan adabnya.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang katanya, perlu ada kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya, kerana kemenangan Islam itu mempunyai wawasan luas daripada dunia sehingga akhirat.

Bentang beliau, Nabi S.A.W sendiri mengumpulkan para Sahabat R.A yang berasal daripada Makkah dan ketika berhijrah menghimpunkan pula kalangan Ansar, seterusnya menyatukan antara Muhajirin dan Ansar.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Cukai, Kemaman, kelmarin.

“Berjihad dengan maknanya yang sebenar, jihad daripada perkataan ‘al-Jahdu’ dan ‘al-Juhdu’. ‘Al-Jahdu’ dengan makna ‘al-Masyaqqah’, kepayahan dan kesulitan. ‘Al-Juhdu’ dengan makna ‘at-Taqqah’, mengemblengkan segala tenaga yang diberi oleh Allah, harta dan jiwa raga, dan sanggup menghadapi kesusahan dan kepayahan.

“Tujuannya untuk memenangkan Islam. Islam yang menyelamatkan manusia, Islam yang membawa rahmat. Maka dalam pendekatan jihad ini, Allah menyuruh kita memulakan perdamaian, bukan peperangan. Peperangan adalah cara yang terakhir, cara dharurat.

“Mereka yang memulakan jihad dengan perang, satu langkah yang salah. Tujuan Islam mengajak manusia seramai-ramainya kepada Islam. Inilah hikmat Nabi kita Muhammad S.A.W bersabar selama 13 tahun di Makkah al-Mukarramah,” terang beliau.

Ceritanya, kaum Musyrikin mencabar beliau berdoa kepada Allah untuk menukar bukit-bukit di Makkah menjadi emas sebagai syarat memeluk Islam, lalu Jibril diutus kepada Baginda untuk memilih antara emas dan sabar.

Nabi ujar beliau, memilih sabar untuk mengajak kaum Musyrikin dengan hujah dan pendekatan, sehinggalah apabila Baginda berhijrah ke Madinah, Allah Taala memerintahkan perang.

Demokrasi dan Dakwah

“Dalam berperang pun Allah berfirman, “Jika sekiranya mereka cenderung meminta damai, maka terima perdamaian itu dan bertawakal kepada Allah. Jika sekiranya mereka mahu menipu kamu, cukup Allah menolong kamu, menyelamatkan kamu”

“Di atas konsep memilih damai inilah, maka PAS memilih demokrasi, memilih cara pilihan raya. Walaupun penuh dengan penipuan dan salah laku, kita bersabar. Memilih cara mengajak manusia kepada Islam lebih dahulu,” jelas beliau.

Tuan Guru juga memetik iktibar Perang Khaibar di mana Rasulullah sungguhpun memberi bendera perang kepada Saiyidina Ali K.W, namun berpesan supaya bersabar dengan terdahulu mengajak kepada Islam.

Perinci beliau, diberitahu mereka itu itu hak-hak yang wajib ditunaikan terhadap Allah, di mana seruan dan kejayaan memujuk walaupun seorang kepada Islam lebih bernilai daripada kenderaan paling mahal.

Katanya, fadhilat mengajak orang menerima perjuangan Islam sangat penting dan ia sinonim dengan demokrasi kerana demokrasi mahukan penyokong-penyokong dan pengikut yang ramai. 

“Pendekatan meliarkan orang, tak mahu terima orang (lain), (hanya) puak kita saja, kena halau orang lain, ini bukan cara Islam. Kita saksikan bagaimana kawasan kita yang kononnya kuat dah selalu PAS ini, sampai halau orang Umno, halau orang atas pagar, kuat dah selalu. 

“Akhirnya kempen sama sendiri saja. Tak menang kawasan ini. Tak menang kawasan ini, kuatlah kuat macam mana pun, kerana tak berjaya mengubahkan sikap manusia. Di sini perlu kita memahami betapa kewajipan kita menyelamatkan manusia dengan Islam. 

“Peluang menyebarkan dakwah, mengajak orang kepada Islam, bahkan mengajak orang-orang bukan Islam mendekati kita. Berdamai dengan kita. Maka Islam menerima kehadiran orang bukan Islam di dalam negara Islam dengan tujuan memperlihatkan Islam secara praktikal dalam kehidupan mereka,” jelas beliau.

Kerana itulah katanya, disaksikan setelah Nabi menang di Makkah berpuluh-puluh ribu orang masuk Islam dan di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin Islam masuk ke Mesir, Parsi, Iran, Syam, serta mengalahkan tentera Rom.

Bahkan menurutnya, bila Islam memerintah di tempat itu, mereka adalah minoriti, tetapi berkuasa dan Islam terus berkembang hingga ke Utara Afrika, Turki, China hingga ke rantau Nusantara Asia Tenggara.

“Mengapa generasi awal masuk ke negeri, orang beramai-ramai masuk Islam dan bukan paksaan? Kita hari ini payah nak ajak orang masuk Islam. Jangankan ajak orang-orang bukan Islam masuk Islam, hat Islam dah pun nak ajak mari kepada Islam, payah. Kita mesti melakukan muhasabah terhadap diri kita sendiri.

“Jangan kita menyalahkan orang sahaja. Di mana kesilapan kita? Di mana pendekatan kita? Mesti kita buat sesuatu. Jangan duduk semangat seorang-seorang saja, duduk takbir seorang-seorang saja, tak menyelamatkan manusia bersama dengan Islam. Perlu adanya kumpulan Islam. Kumpulan Islam kena ada.

“Apa lagi di zaman ini, zaman tak ada manusia macam Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan tak ada manusia macam Khulafa’ ar-Rasyidin. Tak ada manusia macam imam-imam mazhab, macam Umar bin Abdul Aziz. Namun Islam tetap bercahaya. Bagaimana kita nak pimpin cahaya Islam ini?

“Pimpinan secara kolektif, secara berjamaah. Mesti dikumpulkan tenaga-tenaga yang sayang nak menegakkan Islam ini, di kalangan berbagai-bagai lapangan ilmu dikumpulkan dalam satu jamaah. Di sinilah tujuan kita tubuhkan PAS ini. Yang penting kita memenuhi syarat-syarat kemenangan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T,” seru beliau.

Ukuran kelayakan

Menurut Tuan Guru, Allah Taala menyebut segala ciri dan unsur atau sifat dan tanda parti Islam yang layak mencapai kemenangan iaitulah sebagaimana terdapat pada ayat 104 surah Ali-Imran dan ayat 54 hingga 56 surah al-Ma‘idah.

Iaitulah jelasnya, parti itu berjuang di atas Islam yang sempurna dengan berdakwah kepada ‘al-Khair’ merujuk seluruh kebajikan yakni ajaran Islam sebagaimana 30 juzuk dalam al-Quran dan pelaksanaan oleh kebijaksanaan Nabi.

Terang beliau, bermula daripada membentuk peribadi, berhubung dengan Allah, membangun keluarga secara baik, sehinggalah bermuamalah bersama Islam dan menegakkan pemerintahan Islam yang melaksanakan syariat Allah. 

“Kumpulan Islam itu mesti di atas ‘maudhu’’ Islam yang sempurna. Kalau ada kumpulan yang kerjanya dakwah saja, ajak orang sembahyang saja, ajak orang sedekah, tak salah, baik, bagus. Tetapi tak mahu berjuang untuk menegakkan negara Islam. Ini bukan jamaah Islam, kumpulan Islam yang sebenar. 

“Kumpulan Islam sebenar, mestilah melaksanakan apa yang dibuat oleh Nabi S.A.W melaksanakan Islam seluruhnya. Daripada marhalah Makkiyyah, berada di Makkah sehingga marhalah Madaniyyah, berada di Madinah, menegakkan pemerintahan yang mendaulatkan syariat Allah S.W.T. 

“Yang kedua parti Islam itu mesti berdakwah dan berjihad, mengajak orang kepada Islam, mengikut keadaan semasa,” kemukanya mengutara cabaran umat kini menghadapi serangan pemikiran oleh penjajah hingga tidak mengetahui Islam di dalam politik, serta menentang hukum Islam itu sendiri kerana kejahilan.

Tegas Tuan Guru, usaha dilakukan mestilah ke arah Islam memerintah yakni mampu menegakkan negara berkebajikan dan kedaulatan undang-undang yang hebat dan boleh mencegah kemungkaran, jenayah berlaku, salah laku rasuah dan sebagainya.

Mengisi kemenangan

Katanya, kemenangan PAS di dua negeri perlu digunakan sebagai peluang untuk mengisi kemenangan dengan Islam sekadar kemampuan yang ada, bukan untuk meraih kepentingan peribadi.

Berdalilkan ayat 58 hingga 60 surah an-Nisa’, mengisi kemenangan perlu bermula dengan menunjukkan kewajipan para pemimpin berlaku adil terhadap semua rakyat berpandukan hukum Allah dan Rasul-Nya.

Beliau menyeru mentaati pemimpin parti sebagai antara syarat tersebut selagi perkara itu tidak bercanggah dengan al-Quran dan Hadis walaupun mungkin tidak senang dengan keputusan dibuat.

Tuan Guru mengukuhkan hal tersebut dengan kisah ‘Amar bin al-‘Ash R.A yang memimpin pasukan ketenteraan ke Dzatus Salasil sebagai iktibar berkaitan ketaatan dan mengaitkan juga dengan keputusan PAS bergabung dalam Kerajaan Campuran.

Menerusi keputusan tersebut cerita beliau, PAS dapat meluas dan melaksanakan banyak usaha dakwah menerusi kerajaan di mana banyak perkara tersebut menyumbang kepada perubahan masa kini.

“Ini hasil pendekatan politik yang diambil oleh generasi dulu. Masa itu ada kalangan ahli-ahli PAS yang tak setuju, tak boleh berbaik, kena berlawan sokmo, tak boleh berbaik, keluar parti. Buat parti sendiri, buat jamaah, buat kumpulan, meninggalkan parti. Semua parti itu mampus belaka dah, tak ada.

“InsyaAllah hat yang baru ini pun akan mampus juga. InsyaAllah mudah-mudahan jadi begitu. Kita adalah parti yang ada akar umbi kuat. Hari ini kita mendapat dukungan semua pihak. Alhamdulillah. Itu pengalaman. Yang penting ialah mesti taat pada arahan parti, keputusan parti.

“Kadang-kadang ada kalangan kita ini tak setuju dengan wakil rakyat, tak beri kerjasama pada parti. Ini salah, tak boleh. Sepatutnya ahli-ahli kita menjalankan tugas wakil rakyat, menjalankan tugas kerajaan, menjadi jentera kerajaan, bukan jadi bebanan kepada kerajaan,” seru beliau.

Masa depan Islam

Tuan Guru turut memetik hadis dari Huzaifah R.A mengenai tempoh-tempoh pemerintahan sebagaimana konsep telah dinyatakan Nabi S.A.W yang disifatkan beliau sebagai tanda masa depan untuk Islam.

“Tetapi masa depan untuk Islam ini mestilah diperjuangkan oleh orang Islam. Ditegakkan oleh orang Islam. Ada satu kumpulan itu nak tunggu Nabi Isa turun, nak tunggu Imam Mahdi turun, duduk di rumah dia ratib. Ini tak betul. Itu bukan, kerja orang tertentu, orang Islam diwajibkan di mana bumi dia berpijak, dia mesti berjuang untuk Islam,” tegasnya.

Tuan Guru memetik bacaan yang diwiridkan tiap-tiap lepas solat antaranya ayat 26 hingga 28 surah Ali-Imran dan ayat 71 hingga 72 surah al-Isra’ dan huraian mengenai kumpulan-kumpulan diseru mereka dengan nama para pemimpin di akhirat.

Hal tersebut menurutnya, menunjukkan betapa kewajipan besar dalam mendaulatkan Islam sehingga mencapai kemenangan dan dalam mengisi kemenangan itu, bahkan Allah meletakkan pemerintahan yang adil, perkara pertama untuk mendapat lindungan Allah di Padang Mahsyar. – HARAKAHDAILY 3/12/2018

- Advertisement -