Kenangan umrah terakhir bersama TSUAR

- Advertisement -

“NANTI pi bilik aku sat,” pesan Allahyarham Ustaz Azizan kepada saya sebaik kami selesai mengerjakan tawaf dan sa’ie umrah. Seingat saya, itu adalah umrah kali kedua pada tahun 2011 setelah beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

- Advertisement -

Alhamdulillah, sepanjang bertugas di bawah beliau, saya pernah beberapa kali diberi peluang untuk mengiringi beliau dalam lawatan kerja ke luar negara. Dua kali ke Mesir, dua kali menunaikan umrah dan sekali ke Istanbul.

“Ada apa, ustaz yang boleh saya tolong?”

“Ada benda la, sebab tu aku suruh hang mai bilik aku. Nak Minta tolong la ni,” balas Ustaz Azizan bersahaja.

Apabila berbicara dengan beliau, jika tersilap cakap, ada sahaja buah kilas yang akan beliau berikan. Sememangnya beliau terkenal dengan ayat-ayat tajam. ‘Ayat kilas’ kata orang.

“Hang urut sat betis aku ni. Lenguh badan. Sakit semua ada.” Sambil menjatuhkan badan ke atas lantai berlapikkan sebiji bantal, beliau memberi arahan kepada saya untuk mengurut beliau.

Saya tersenyum.

Saya mula mengurut. Saya bukanlah tukang urut profesional, tetapi bolehlah sekadar untuk menghilangkan regangan pada badan teman-teman. Sambil mengurut, Ustaz Azizan mengaduh kesakitan sambil sesekali diselangi gelak tawa.

Sebenarnya inilah peluang yang istimewa buat saya sebagai seorang Pegawai Khas kepada seorang Menteri Besar. Berpeluang mendengar pelbagai kisah yang keluar dari mulut seseorang yang bergelar Menteri Besar, ustaz, bekas pensyarah, ayah, tok guru dan juga murabbi.

Suara mengaduh sakit dan suara gelak ketawa berselang seli memecahkan suasana.

“Hang mai umrah berapa kali dah?” tanya beliau.

“Alhamdulillah, banyak kali dah, ustaz,” jawabku.

“Aku nak habaq kat hang, ni umrah aku yang terakhir. Aku balik ni…. mati.”

Saya terkedu.

“Ustaz cakap apa macam tu?” balasku dengan nada terkejut.

“Aku yang rasa, ni umrah aku yang terakhir,” balas beliau.

Saya memandang bebola anak mata beliau. Perasaan sayu menusuk ke dalam hati.

Saat saya berteleku di Masjidil Haram ini, saya terbayangkan wajah beliau. Kami pernah beribadah, beriktikaf dan bergelak tawa bersama di bumi haram ini, tetapi hari ini beliau telah pergi terlebih dahulu.

Ya Allah, kau rahmatilah Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak. Kau ampunilah dosa-dosanya. Kau masukkanlah beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Kau pertemukanlah kami di akhirat nanti di syurga-Mu, ya Allah.

ZAKARIA OTHMAN
Jumaat
Makkah Al-Mukarramah – HARAKAHDAILY 1/12/2018

- Advertisement -