Pesakit buah pinggang perlu dikategori OKU

- Advertisement -

PUSAT Dialisis Bulan Sabit Merah Miri memulakan operasi hemodialisis pada 3 Ogos 1996 dengan enam pesakit sahaja. Pada mulanya pusat ini menerima 37 pesakit baru dan pada 31 Disember 2006, mereka mempunyai 137 pesakit dengan lebih kurang 20 pesakit baru dalam senarai menunggu.

- Advertisement -

Statistik terkini, sejumlah 318 pesakit dan 60 dalam senarai menunggu. Pusat ini menerima purata tiga pesakit baru kegagalan buah pinggang peringkat akhir “end-stage renal failure (ESRF)” setiap bulan dan jadual rawatan dialisis pada hari Isnin, Rabu dan Khamis terdapat 3 syif dan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu 2 syif. Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri adalah antara penerima terbesar pesakit buah pinggang di Sarawak.

Menurut pegawai operasi yang bertugas semasa lawatan kami ke pusat tersebut, mereka juga menerima pesakit pelawat dari Limbang, Lawas, Batu Niah, Bintulu dan lain-lain yang memerlukan rawatan.

Salah seorang pesakit buah pinggang yang juga Penyelaras Projek Amal Jariah Usrati, Haji Mohamad Taha Haji Bini telah bertemu dengan kami tentang projek inisiatifnya bersama isteri dan kawannya untuk membantu pesakit yang memerlukan bantuan. Beliau berkata ramai pesakit yang memerlukan bantuan terutama golongan miskin dan pesakit yang kurang berkemampuan. Beliau juga meminta lebih banyak penderma untuk bersama-sama memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

Kami telah bertemu dengan salah seorang pesakit buah pinggang, Veno Ak Jungai dari RH Johnson Jangu Seloi Sibuti yang terpaksa berulang-alik menggunakan motosikal sejauh lebih kurang dua jam perjalanan dari rumahnya ke pusat dialisis Miri.

Dalam keadaan beliau yang kurang sihat, dia terpaksa menggunakan kenderaannya sendiri kerana tidak ada pilihan lain sebab pusat dialisis tidak mempunyai perkhidmatan untuk menghantar pesakit dari luar ke pusat dialisis. Kadang-kadang dia terpaksa berhenti di tepi jalan jika dia berasa keletihan dan bahkan ketika hujan dia juga terpaksa mencari tempat teduh sebelum sampai ke pusat dialisis.

Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pesakit buah pinggang ini. Hampir semua pesakit buah pinggang memilih hemodialisis kerana ia dilakukan di hospital atau pusat dialisis manakala dibantu oleh jururawat terlatih.

Dialisis sebenarnya tidak menyembuhkan penyakit buah pinggang, tetapi ia menggantikan fungsi buah pinggang.

Oleh itu, pesakit terpaksa menggunakan rawatan ini sepanjang hayatnya melainkan seseorang ingin melakukan pemindahan buah pinggang.

Pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis harus menjalani dialisis tiga kali seminggu (12 kali sebulan). Setiap dialysis mengambil masa kira-kira empat jam. Jika tidak menjalani dialisis boleh mengakibatkan kehilangan nyawa apabila tubuh badan menjadi lemah.

Jadi kami menggesa pihak kerajaan mengkategorikan pesakit buah pinggang sebagai OKU. Mereka juga terpaksa bergantung kepada mesin dialisis untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Mereka sukar untuk perjalanan jauh dari kawasan mereka kerana tanpa melakukan hemodialisis keadaan kesihatan mereka akan terganggu dan mereka sepanjang hayat terpaksa menggunakan mesin dialisis kecuali ada seseorang menderma buah pinggang mereka.

Dengan pengiktirafan mereka sebagai orang kurang upaya (OKU) sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini dapat mengurangkan beban mereka, terutama mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak pusat dialisis terutama bagi mereka yang tinggal jauh di pedalaman kerana mereka terpaksa berulang-alik ke pusat dialisis dan mengambil masa yang lama pastinya boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Kami juga ingin menjemput kepada semua yang berkenaan agar sama-sama boleh membantu mengurangkan beban pesakit buah pinggang, terutama mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan mereka yang tinggal jauh dari pusat dialisis seperti Encik Veno yang benar-benar memerlukan bantuan.

Jika boleh, berikan perkhidmatan pengangkutan kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang yang tinggal jauh dari pusat dialisis dan mereka harus diberi bantuan segera untuk keselamatan dan kesihatan mereka.

Kerjasama dengan semua pihak untuk mengatasi masalah ini amatlah dihargai kerana kehidupan seseorang adalah sangat bernilai tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 30/11/2018

- Advertisement -