Mentajdidkan pendidikan negara (Siri 1)

- Advertisement -

PENDIDIKAN adalah tapak penting pembangunan insan yang akan melahirkan manusia menurut tujuan penciptaannya, serta memenuhi keperluan kehidupan dengan potensi dan kompetensi dijana gilapkan. Lantaran itu, seluruh komponen pendidikan melibatkan sasaran, penggerak, aset, pengurusan dan sistemnya memerlukan hubungan perkaitan yang bukan sahaja saling melengkapi, malah memperkuatkan. Bahkan, dalam falsafah pembinaan masyarakat dan negara, sektor pendidikan jugalah wadah terpenting bagi menegak dan mendirikannya.

- Advertisement -

Lakaran sama jugalah terlihat dalam sejarah membina tanah air tercinta bernama Malaysia ini yang terhimpun padanya kepelbagaian manusia penuh unik kerana perbezaan warna kulit, kaum, dialek, bahasa dan agama. Kesedaran kepada peranan pendidikan telah meletakkannya di satu martabat yang diutamakan serta sangat dihormati di mana terlihat dengan pesatnya negara ini membangun maju. Diteguhkan lagi dengan cita-cita murni wawasan masa hadapan yang diimpi imaginasikan ke minda setiap rakyat untuk mendukungnya.

Namun, disangka sinar mentari cerah hingga ke petang, rupanya mendung hujan kilat di tengahari. Dunia pendidikan di Malaysia ketika ini terdengar esak tangis yang semakin hari kian sedih, panjang dan kuat bunyinya. Rupanya ia bukan hanya rintihan batin yang mendekam rasa, tetapi juga jasad cedera luka memerlukan rawatan segera.

Pendidikan Rabbani

Bingkas dan tegaslah untuk menyelamatkannya, sekali gus merubah dan memperbaiki segala kesilapan lampau yang telah merengsa dan menyeksakan. Segala masalah yang melanda dan melingkari sektor pendidikan negara pada hari ini secara umumnya berpunca dari dasar pemerintahan itu sendiri. Mentaliti pemimpin yang menerajui kerajaan lalu telah menjadikan rakyat sebagai sasaran atau hamba untuk mengaut keuntungan tembolok diri sendiri atau kelompok.

Sepertimana juga sektor lain, pendidikan turut tidak terkecuali menjadi ‘mangsa pemerdagangan’ melalui orientasi perniagaan yang dijalankan ke atasnya. Malah, ia lebih mudah untuk menjana kekayaan kerana merupakan sektor keperluan dan diwajibkan kepada semua lapisan rakyat. Tersasar dan melencongya tujuan itu, menatijahkan kesan kerosakan yang tidak sedikit kepada sektor pendidikan. Paling wajar diratapi, apabila matlamatnya sebagai wadah dan pemicu pembangunan insan terganggu gugat.

Lebih buruk daripada itu, di institusi pendidikan baik di peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi hari ini, membiak kebejatan dan penyakit sosial dalam kalangan warganya. Hingga kepada lebih parah, ia menyumbang pula kepada statistik jenayah dan pelbagai tekanan terhadap masyarakat dan negara. Sedangkan harapan besar disandarkan adalah untuk melihatnya mengeluarkan seramai mungkin manusia beriman berakhlak hebat.  

Besar lagi hingga untuk melihat produk pendidikan Rabbani yang berdaya pakar dan bakal menyumbangkan produktiviti kepada negara, seterusnya mensejahterakan dan memakmurkan dunia ini. Itu juga musnah dan menghampakan, kerana terlebih dahulu tenaga-tenaga utama dan pakarnya yakni dalam kalangan guru dan pensyarah atau seumpamanya tidak diletakkan di kedudukan yang diiktiraf dan tersanjung.

Kebajikan guru

Tidak sedikit hari ini guru diletakkan di ‘kandang pesalah’ oleh para pengkritik, hatta para ibu bapa dan penjaga yang tidak pernah penat menghambat. Pelbagai kerenah dan tingkah laku anak-anak para pelajar terpaksa dihadap ditelan dengan kesabaran super tinggi tanpa guru selaku pendidik dapat meluruskannya dengan aspek tindak balas lain. Paling menyesakkan, warga pendidik juga laksana buruh yang dibebani segala macam hal di sekolah.

Komited dengan rutin proses pengajaran dan pembelajaran untuk memandaikan pemikiran anak bangsa, mereka juga tidak lepas dari pelbagai kerja-kerja yang menuntut kerahan dan curahan tenaga atau paling tidak kehadiran. Komitmen semua guru di Malaysia ketika ini tidak dapat disangkal, mereka melebihkan orang lain dan urusan berkaitan melebihi diri dan ruang lingkup peribadi sendiri. Malangnya, aspek keperluan mereka tidak dilengkapkan sewajarnya jauh sekali dimudahkan atau disempurnakan.

Kes-kes kebajikan guru semakin banyak direkodkan hingga popular istilah ‘duka lara’ kepada mereka. Selain melayan kerencaman pelajar dan menimbun tugas-tugas, serta dijadualpadatkan dengan arahan mengikuti atur cara, kelengkapan seperti Alat Bantu Mengajar misalnya juga dibeban kepada kreativiti guru. Usah disebut keperluan lain di sekolah, segalanya tidak pernah dicukupkan memaksa berkorban wang ringgit sendiri.

Paling memilukan, ujian kesihatan ke atas mereka tidak terdengar inisiatif yang khusus untuk meringankannya, termasuk isu-isu kejiwaan dengan puncanya berkait tugas sebagai warga pendidik. Antara yang panas kini berkaitan sistem pertukaran di mana isu guru terpaksa berjauhan dari keluarga anak-anak, suami atau isteri masih berlaku. Malah, ‘popular’ dakwaan bahawa tidak ada tindakan yang komprehensif untuk menyelesaikannya.

Akibatnya, wilayah peribadi para guru ini terancam gugat dengan kisah-kisah perceraian dan lingkaran masalah sama seperti tekanan jiwa, kemurungan dan sebagainya hingga melibatkan juga kesihatan yang serius. Kementerian Pendidikan dikatakan mereka telah dilanda penyakit tidak cakna dan culas untuk menyelaraskan permohonan pertukaran guru yang sememangnya perlu memenuhi keperluan pendidikan itu sendiri.

Tetapi pertimbangan kemanusiaan untuk meneguhkan perihal keinsanan juga teramat penting dan mendesak dipenuhi. Kegagalan pihak kerajaan menangani hal tersebut lantaran sistem pengurusannya telah dikotori oleh kepentingan menjana keuntungan hingga merubah para pelaksana kepada sikap seperti yang dinyatakan. Amat malanglah apabila penggerak utama pendidikan dilayan sedemikian rupa, sedangkan di dalam Islam, guru diletakkan di martabat kemuliaan. Hampir semua kitab fekah meletakkan tajuk “Menghormati Guru” di bab pertama.

Prasarana sekolah luar bandar

Jauh ketinggalan juga adalah aspek prasarana sekolah terutama di luar bandar di mana ada yang kelihatan tidak tumpah seperti berada di zaman sebelum merdeka. Malah, ada bangunan yang seolah-olah tidak pernah diselenggara memandangkan sememangnya tiada peruntukan diberikan untuk itu. Kerosakan pula terpaksa ditangani sendiri warganya dengan Belanjawan Poket Sendiri. Tetapi, isu paling besar dan utama sebenarnya adalah bilangan sekolah dan jumlah guru itu sendiri masih jauh tidak mencukupi untuk melunaskan tuntutan sedia ada. Malangnya sebelum ini kerajaan boleh pula berkira-kira untuk mengurangkan pengambilan guru pelatih dan menutup sembilan Institut Pendidikan Guru.

Ini belum termasuk isu-isu bengit, celaru dan haru biru seperti Program Dwi-Bahasa (DLP) yang merupakan jelmaan semula PPSMI yang dimansuhkan, serta ketidaktentuan status lanjutan program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF). Begitu juga isu buku teks pengajaran Bahasa Inggeris yang menggunakan buku daripada Amerika Syarikat, bukan lagi teks KSSR. Tetapi kemudian tidak digunapakai kerana didakwa level tinggi, selain kecurigaan terdapat unsur-unsur tidak selaras dengan budaya dan agama di negara ini.

Tidak kurang memening dan memualkan adalah sikap kerajaan khususnya Menteri Pendidikan yang saban penggal bertukar menyebabkan muncul idea-idea atau pelaksanaan pelik dan populis. Akibatnya, warga pendidikan menjadi bahan eksperimen bak tikus makmal yang diujikaji. Di bawah Menteri baharu Kerajaan PH kini pula diperkenal kasut hitam, pertukaran tarikh-tarikh peperiksaan dan pelbagai lagi hingga paling panas isu PTPTN.

Namun mengecewakan, isu-isu asas pendidikan dan warganya tetap tidak berlaku transformasi atau perubahan yang dilaung-laungkan sebelum ini. Pembelaan sewajarnya tetap tidak muncul berbanding kritikan dan kerahan yang dihadapkan. Menjadikan segala harapan yang didambakan tetap rapuh dan kabur dari hakikat penyelesaian. Apapun, perubahan masih tetap juga menjadi harapan yang diminta untuk dipenuhi demi sebuah masa depan lebih baik, hingga nanti tercapai matlamat digariskan.

Sekian. Bersambung. 

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

30 November 2018 | 22 Rabiulawal 1440 – HARAKAHDAILY 30/11/2018

- Advertisement -