Di mana keadilan Islam untuk orang Islam?

- Advertisement -

BERJUANG kerana bangsa ditolak dan dimurkai oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Sekiranya sanggup membela bangsa walaupun bangsanya membuat salah dan melakukan zalim.

- Advertisement -

Begitu juga tunduk (wala’) kepada orang bukan Islam merupakan perbuatan yang salah dan dimurkai oleh Allah SWT. Semata-mata takut hilang sokongan dan menikus isu yang membabitkan maruah Islam. Menyalah guna perkataan Islam rahmatan Lil Alamin.

Tidak salah sayang kepada bangsa, kerana fitrah manusia sayang kepada bangsanya sendiri. Baginda Nabi Muhammad SAW pun sayang kepada kaum Quraisy. Tetapi apabila bangsanya sendiri berada di pihak yang batil baginda lawan seperti perang Badar.

Begitu juga Islam mengarahkan supaya berlaku adil, walaupun kepada orang bukan Islam. Haram kita menindas orang bukan Islam, kerana ia juga mempunyai hak untuk hidup dan mendapat keadilan.

Hanya Islam boleh memberi keadilan kepada semua. Syaratnya Islam mesti mentadbir dan dihayati sepenuhnya. Bukan hanya mengambil satu juzuk Islam untuk menunjukkan Islam adil kepada orang bukan Islam, tetapi mengenepikan hak orang Islam untuk menghayati haknya.

Akhirnya kemurnian Islam tidak akan diperolehi dan hak orang Islam dipinggirkan. Di manakah pula keadilan Islam untuk orang Islam? Adil ialah meletakkan sesuatu kepada orang yang berhak.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
30 November 2018 – HARAKAHDAILY 30/11/2018

- Advertisement -