Terjaminkah keperluan beras negara mencukupi?

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Negara telah kehilangan lebih 10,000 hektar kawasan penanaman padi dalam tempoh 20 tahun ini berikutan ianya telah ditukar kepada status perindustrian, perumahan ataupun bangunan.
 
Ukuran tersebut menyamai keluasan 50,000 padang bola sepak, sekali gus sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 80 peratus pada tahun 2020 bagi keperluan rakyat Malaysia akan sukar untuk dicapai.
 
Kebimbangan tersebut disuarakan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) ketika membahas peruntukan Belanjawan 2019 bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Parlimen, di sini kelmarin.
 
Pun begitu kemukanya, SSL seharusnya diletakkan maksimum 100 peratus kerana ia berkait soal keselamatan makanan negara (food  security) dan untuk melindungi daripada berlakunya krisis makanan.
 
Beliau juga meggesa kerajaan memberi perhatian utama kepada penanaman padi berkaitan usaha mengurangkan kos bertani, meningkatkan pendapatan pesawah serta memastikan tercapainya sasaran SSL.
 
Ahmad Tarmizi juga mahu pihak kerajaan merealisasikan hasrat banyak pihak supaya Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi menggantikan monopoli BERNAS dalam urusan berkaitan ketika ini.
 
Kekecewaan turut dizahirkan beliau berikutan tiada peruntukan subsidi bagi penanaman padi bukit atau padi huma sepertimana bajet lalu yang menyebabkan golongan pesawah berkenaan merasa tidak dinilai kerajaan.
 
Sedangkan katanya, kerajaan seharusnya semakin bergerak ke hadapan dalam penanaman padi berkenaan dan beliau mengemukakan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) yang diusahakan dengan jaya di Sik, Kedah.
 
Menurut beliau, inisiatif dijayakan bekas anggota tentera memperkenalkan padi organik dikenali sebagai SRI Lovely itu telah mendapat perhatian ramai penyelidik luar negara kerana mutu dan kuantiti penghasilannya.
 
Sehubungan itu beliau menyeru agar kejayaan di Sik itu diambil sebagai ‘pilot  project’ untuk pihak kerajaan mengembangkan penanaman padi berkenaan ke daerah-daerah lain seluruh Malaysia.
 
“Malangnya dalam peruntukan bajet kali ini jelas memperlihatkan seolah-olah kerajaan mahu meletakkan golongan petani dan nelayan dalam kelas ketiga di negara kita ini. Sedangkan di negara maju di Jepun, di United Kingdom, golongan ini merupakan jutawan.
 
“Kerana (di sana) kerajaan sentiasa mahu mengawal rantai makanan dan meletakan mereka ini antara kelompok masyarakat yang sangat penting yang perlu dijaga dengan sebaiknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/11/2018
- Advertisement -