Adun Wanita: Muslimat T’ganu rakam tahniah

- Advertisement -

SUKACITA pihak Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Hjh Zuraida Md Noor, yang dilantik sebagai Adun Wanita bagi Dewan Undangan Negeri Terengganu sesi penggal ke-14. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan yang besar, diberikan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap golongan wanita khususnya di negeri ini.

- Advertisement -

Dalam kisah Ratu Saba’, maksud firman Allah SWT: “Berkata Balqis: Wahai pembesar-pembesar!Berilah aku pertimbangan dalam urusanku inu, aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan pun sebelum kamu berada di majlisku. Mereka berkata : Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan juga memiliki keberanian dan keputusan berada di tangan kamu. Maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan kepada kami. Ia berkata sesungguhnya raja-raja itu apabila mereka memasuki sesebuah negeri, mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina dan demikian pula lah, apa yang mereka akan lakukan” (Surah Al-Naml: 32-34)

Ayat ini menunjukkan bahawa terdapat di kalangan wanita menanggung tanggungjawab pemerintahan sebagai seorang raja atau ketua negara, dan telah menggunakan dasar syura di dalam pentadbirannya. Kita hendaklah akui terdapat dalam kalangan wanita yang begitu tajam pandangan dan keprihatinan di dalam dirinya. Mereka tidak begitu mudah terpengaruh dengan pandangan orang lain dan mampu berdikari di atas kaki sendiri. Kesemuanya ini membuktikan betapa mereka mampu mentadbir kerajaan dan cekap dalam gerak kerja politik.

Disebut juga pada 24 April 2003 – Dewan Undangan Negeri meluluskan Enakmen bagi meminda Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan 2003) Fasal xxvii (2) dan (3). Fasal XXVII (2) :

“Jika pada bila-bila masa, tidak ada orang bukan Islam atau wanita yang dipilih kepada Dewan Undangan Negeri, tertakluk kepada peruntukan berikut, Dewan Undangan Negeri boleh atas satu usul yang disokong oleh tidak kurang dari tujuh orang ahli Dewan Undangan Negeri dan diluluskan dengan majoriti mudah, melantik orang bukan Islam dan atau wanita bagi mewakili rakyat bukan Islam dan atau wanita dengan syarat bahawa ahli-ahli yang dilantik hendaklah tidak melebihi 4 orang.”

Pelantikan Adun Wanita ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu mengiktiraf kepimpinan wanita serta tidak menafikan penyertaan mereka dalam bersama-sama membawa hala tuju negeri. Sekali lagi, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyokong penuh pelantikan Puan Hjh Zuraida Md Noor sebagai Adun Wanita, dan kami yakin beliau mempunyai kredibiliti yang diperlukan, seterusnya mampu membawa amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Muslimat Memacu Perubahan”
“Islam Memimpin”

Siiru ‘Ala Barakatillah.

Puan Zarani Othman
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 29/11/2018

zuraida2

- Advertisement -