ICERD: Beberapa tuntutan dibangkit 8 Dis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membangkitkan beberapa tuntutan dalam himpunan perdana menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember nanti.

- Advertisement -

Perkara tersebut merangkumi menuntut kerajaan menyatakan pendirian tegas berhubung penolakan ICERD, menggesa kerajaan memasukkan penegasan tersebut dalam hansard parlimen.

Selain itu mendesak kerajaan menghentikan gerakan cubaan mendesak kerajaan meratifikasi ICERD, menuntut menteri-menteri berhenti membuat kenyataan berhubung ICERD dan mendesak kerajaan mempertimbangkan kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri perpaduan yang merupakan punca berlaku ICERD.

Berhubung tuntutan meminta menteri berhenti membuat kenyataan tentang ICERD, Ketua Sekretariat UMMAH, Aminudin Yahaya mengulas ada beberapa menteri yang dikatakan “lebih faham” tentang ICERD cuba merendahkan amaran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengenai ICERD.

“Katanya (menteri) faham lebih daripada Tun Hamid ini yang suruh Tun Hamid suruh belajar dengan dia ini, walaupun dia hanya belajar bahasa Arab, berhenti buat kenyataan mengenai ini (ICERD).

“Ada tiga menteri ini yang selalu sangat suka buat kenyataan dan kita harap dia berhenti buat kenyataanlah.

“Kalau kata suruh saya belajar itu saya fahamlah tapi kalau suruh Tun Hamid belajar ini kira agak sukar jugaklah rakyat nak faham,” katanya.

Aminuddin berkata demikian selepas sidang meja bulat ICERD yang diadakan hari ini di Hotel Putra bersama para NGO dan NGI serta anggota keselamatan Bukit Aman.

Beliau yang juga pengerusi himpunan tersebut turut mengingatkan para penceramah yang akan berucap di atas pentas nanti tidak membuat ucapan berunsur provokatif.

“Kita ada moderator yang akan kawal ucapan-ucapan sedemikian kalau ada ucapan yang provokatif kita akan tutup mic, kita tak nak ucapan-ucapan provokatif,” tegas Aminuddin.

Mengulas mengenai tularnya rakaman dalam WhatsApp yang seolah-olah ingin mensabotaj program himpunan tersebut, beliau berkata pihak berkuasa telah menerima maklumat sedemikian.

“Kita ada ‘intelligent’ kita juga, kerajaan ada ‘intelligent’ juga, mereka pun ada terima maklumat sebegitu, insha Allah Ustaz Masridzi dan ketua-ketua keselamatan akan memastikan geng-geng seperti ini yang cuba nak mensabotaj akan dihentikan sebelum mereka datang.

“Kalau dia datang, kita nampak senjata, kita pun dah bincang dengan pihak polis, pihak polis akan beri kerjasama yang itu akan masuk “black maria”-lah,” katanya.

Jelasnya, selain pihak polis lebih kurang 3,000 telah berdaftar secara sukarela dengan UMMAH untuk bersama memastikan keselamatan pada himpunan tersebut antaranya Jabatan Amal, NGO-NGO dan sebagainya.

Tegasnya, himpunan tetap diteruskan sebagaimana dirancang cuma format pada himpunan berubah selain ingin membuat beberapa tuntutan, ianya juga bertujuan sebagai tanda kesyukuran atas keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat untuk tidak meratifikasi ICERD.

Beliau turut menafikan khabar angin mengenai pembatalan himpunan dan menegaskan sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan dari UMMAH dan Sekretariat Daulat.

Difahamkan himpunan yang agak santai itu akan diwarnai dengan nyanyian kumpulan nasyid diselang seli dengan ceramah.

Seramai 20 orang penceramah akan mengambil bahagian berucap pada program yang bermula pada jam 2 petang sehingga jam 6 petang bertempat di Dataran Merdeka.

Kata Aminuddin, pada hari himpunan tiada perarakan dibuat sebelum program bermula malah beliau mengingatkan para peserta tidak membuat perarakan sendiri dengan berucap memakai “healer”.

Tambahnya, semua agenda akan bermula di Dataran Merdeka.

“Kita alu-alukan semua pihak hadir bukan sahaja pihak parti pembangkang, NGO-NGO, NGI malah pihak parti kerajaan juga untuk bersama-sama kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2018

bantah

- Advertisement -