Malaysia perlu ramaikan Atase Kemanusiaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri perlu dimantap dan diperkemaskan dengan mengadakan lantikan Atase Kemanusiaan sesuai dengan peranan Malaysia dalam Dialog Kemanusiaan khususnya melihat krisis-krisis di seluruh dunia.

- Advertisement -

Menurut Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik), Malaysia sudah memulakan langkah tersebut di Bangladesh dan berharap lantikan seumpama diadakan dalam peranan di Palestin, Syria, Yaman dan juga di rantau ini iaitu Myanmar.

“Atase Kemanusiaan ini sangat penting sebagai penyelaras kepada bantuan kemanusiaan oleh NGO-NGO daripada Malaysia bergerak di persada antarabangsa. Kita melihat khususnya di Bangladesh itu apabila kita melantik Atase Kemanusiaan ini, banyak saluran-saluran yang telah kita buat untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di Cox’s Bazar dan di sekitar sana.

“Usaha ini sangat penting, kita bukan hanya melihat aspek advokasi dan lobi berkaitan dengan krisis-krisis ini untuk segera dihentikan, tetapi lebih besar untuk kita melihat soal kemanusiaan khususnya saya mengatakan yang paling penting di peringkat ASEAN ini krisis Rohingya di Wilayah Rakhine,” ujarnya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Luar Negeri berbincang dengan Kerajaan Myanmar untuk melantik Atase Kemanusiaan di Kedutaan Malaysia di Yangon bagi tujuan menyelaras bantuan.

Perkara itu menurutnya, akan memudahkan pihak Myanmar, selain banyak NGO kemanusiaan Malaysia dapat menggerakkan peranan menghantar bantuan ke wilayah tersebut selain juga membina hubungan diplomasi.

“Kita dapat membuktikan bahawa Malaysia boleh bukan hanya kita tegas dalam mengatakan penindasan dan ‘genocide’ yang berlaku di Myanmar perlu dihentikan, bahkan kita dengan serius membantu rakyat-rakyat yang menjadi mangsa konflik.

“Bukan hanya orang-orang Rohingya bahkan juga etnik-etnik lain di Myanmar itu termasuk di Wilayah Kachin, di Wilayah Shan dan sebagainya,” kemukanya penuh harapan.

Beliau turut menyentuh mengenai Dialog Antara Agama yang dilihat menjadi perantara penting dalam menghimpunkan pelbagai wakil agama ke arah membina kestabilan dan keharmonian serta usaha menangani konflik terjadi.

Selain itu serunya, peranan Malaysia dalam Dialog Kemanusiaan perlu terus diangkat hingga boleh menggantikan ataupun sama taraf Helsinki sebagaimana peranan sebagai perantara kepada konflik di Selatan Thailand, Acheh dan Filipina. – HARAKAHDAILY 27/11/2018

- Advertisement -