K’jaan wajar berhemah tegur PDRM secara terbuka

- Advertisement -

SEMALAM sewaktu perbahasan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer di peringkat jawatankuasa berhubung belanjawan untuk Kementerian Luar Negeri, saya bangun untuk menegur sepintas lalu tindakan beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri. Mereka bersama Ahli-ahli Parlimen PH pagi semalam yang telah mempertikaikan tindakan pihak polis dalam isu kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights dua hari lepas.

- Advertisement -

Sekalipun perbahasan Yang Berhormat Jelutong berhubung dasar luar, namun apabila beliau menyentuh bahawa di negara ini tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini, saya mempersoalkan tidakkah keamanan negara ini turut dikecapi hasil kerja keras anggota-anggota keselamatan yang mana tidak wajar dipertikaikan secara terbuka oleh ahli Kabinet sendiri? Saya katakan tindakan mempertikaikan secara terbuka itu adalah tidak manis bagi seorang anggota Kabinet.

Sudah pasti di dalam menjalankan tugas, pihak polis banyak terdedah dengan kelemahan. Saya sendiri tidak berhasrat menyatakan bahawa polis telah sempurna dan tidak boleh diberikan teguran. Kami di pihak pembangkang seringkali merasa tidak puas hati dengan layanan pihak polis di dalam sesetengah kes. Selaku pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu dan juga pembangkang selepas Pilihan Raya Umum, sudah pasti banyak perkara yang boleh disebut berhubung rasa tidak puas hati terhadap pihak polis.

Tetapi menyebutnya secara terbuka di dalam sidang media oleh Menteri-menteri Kabinet sendiri adalah sesuatu perkara yang tidak sesuai. Bukankah Kerajaan Pusat sudah ditadbir oleh PH begitu juga dengan Kerajaan Negeri Selangor. Di celah mana lagi ruang pentadbiran yang tidak boleh digunakan oleh para Menteri untuk menegur apa yang mereka sifatkan sebagai ‘kepincangan’ oleh pihak polis ini?

Bukankah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pihak polis juga diketuai oleh Menteri dari PH? Apa susahnya untuk menyatakan teguran ini mengikut saluran Kabinet daripada menyatakannya secara terbuka hanya untuk mencetuskan polemik dengan warga PDRM?

Atau sebenarnya para Menteri, Timbalan dan Ahli-ahli Parlimen PH (termasuk Ahli Parlimen Jelutong) yang turut bersama di dalam sidang media ini berhasrat untuk menunjukkan kepada rakyat khususnya golongan yang terbabit mempertahankan kuil tersebut bahawa ‘mereka sudah buat kerja’?

Saya kira, tindakan Menteri Perpaduan yang mengetuai sidang media ini tidak wajar untuk terus menjadi anggota Kabinet. Beliau nyata sekali gagal memahami prinsip tanggungjawab bersama Kabinet yang merupakan asas tugas seorang Menteri. Jika prinsip cabinet collective responsibility pun mereka gagal untuk hadam, bagaimana untuk menjadi seorang Menteri?

Perdana Menteri wajar untuk membuat penilaian semula terhadap Menteri seperti ini.

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas.

27 November 2018 – HARAKAHDAILY 27/11/2018

- Advertisement -