Bina masa depan Islam dengan hidupkan ilmu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu membina semula masa depan dengan menjalankan gerakan bersama kerana memiliki kemampuan kepakaran dan jumlah lebih satu bilion di seluruh dunia.

- Advertisement -

Seruan itu dilontarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan Syarahan Perdana “Geopolitik Dunia dan Masa Depan Islam” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak malam tadi.

Terangnya, usaha itu perlu dilakukan dengan menghidupkan ilmu, yakni kemampuan menterjemah ilmu Islam mengikut keadaan semasa, dalam masa sama meng-Islamkan ilmu duniawi pernah dicuri Barat kembali kepada umat Islam.

“Kita tidak boleh menunggu masa depan Islam ini berjaya sebagaimana menunggu naiknya matahari dengan berkokok ayam. Mesti bangun sembahyang Subuh, bermunajat kepada Allah Taala, menghayati Islam itu. Jangan tunggu ayam berkokok, matahari naik,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru, generasi awal Islam dibentuk di lembah yang kering tanpa sebarang sumber, hasil dan tanaman serta air iaitu Makkah al-Mukarramah kerana agenda dan peranan umat manusia akhir zaman dimulakan dengan ilmu, bukan ekonomi atau politik dahulu.

Katanya, hasil ilmu wahyu dan ilmu duniawi, dalam masa tidak sampai satu abad, Islam telah mendirikan negara bermasyarakat majmuk dan madani sebagai satu kenyataan, sedangkan ia hanya menjadi impian dan teori ahli-ahli falsafah Barat.

Ketika sama ceritanya, dalam sejarah tamadun lain yang dibina menyaksikan ahli-ahli falsafah Greek dan para bijak pandai serta pakar dibunuh atas pelbagai kebimbangan terhadap ilmu dimiliki golongan itu kepada pihak lebih berkuasa.

Hal tersebut jelas beliau, berbeza dengan Islam yang bukan sahaja meng-Islamkan manusia, tetapi juga meng-Islamkan ilmu sebagaimana sabda Rasulullah bahawa kebijaksanaan adalah milik orang beriman, laksana barang tercicir, ia berhak atasnya.

“Maka orang Islam mengumpulkan ilmu-ilmu seluruh pelosok dunia, daripada Tamadun Parsi, Rom, China, India dan lain-lain. Diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Maka lahirlah Tamadun Islam. Berjaya meng-Islamkan manusia dan ilmu, memerintah negara masyarakat majmuk, berbilang agama, bangsa dan kaum.

“Disaksikan masih ada penganut-penganut bukan Islam di Mesir, di Utara Afrika, di Iran, di Syria, di Asia Tengah. Masih ada rumah-rumah ibadat, termasuk di rantau kita Alam Melayu Nusantara ini Borobudur di Indonesia. Menandakan adanya penganut-penganut bukan Islam yang tidak dipaksa.

“Tetapi Islam menguasai negara, yang diterima oleh masyarakat majmuk, dalam keadaan aman. Kerana konsep yang dilaksanakan bersifat sejagat. Beriman kepada Allah, tidak ada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. Bertakwa, martabat manusia bukan bangsa dan warna kulit, yang bertakwa paling mulia.

“Adil untuk semua, di mana Islam berjaya memimpin dunia. Adapun kejatuhan umat Islam setelah mereka meninggalkan ajaran Islam itu sendiri. Berlaku zaman kelemahan, negara umat Islam dijajah,” kupas beliau. – HARAKAHDAILY 27/11/2018

- Advertisement -