Bajet Kelantan dan T’ganu, Bajet Keberkatan

- Advertisement -

SEKIRANYA penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, maka pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, namun sekiranya mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka itu” (Maksud surah Al-A’raf: 96)

- Advertisement -

Asas Kenegaraan

Islam telah menggariskan beberapa keutamaan yang perlu diambil oleh mereka yang diberikan kuasa pemerintahan, berpandukan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hajj, ayat 41 yang bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat (sumbangan harta atau ekonomi), dan mereka melaksanakan amar maaruf (berkebajikan), serta mencegah kemungkaran (melarang daripada melakukan kejahatan), dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Pedoman wahyu ini menunjukkan kepada kita penekanan terhadap lima keutamaan dalam pembinaan sebuah negara sejahtera, iaitu kepatuhan kepada Allah (solat), ekonomi yang adil dan diberkati (zakat), negara berkebajikan (amar maaruf), kehaibatan undang-undang (nahi munkar), serta berwawasan dunia dan akhirat.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 di Parlimen, seterusnya mengemukakan beberapa keutamaan dan penekanan yang wajar diambil perhatian, khususnya dalam perkara penting yang selama ini sering dilupakan, atau sebelum ini sengaja dilupakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bajet Keberkatan

Terdahulu, Kerajaan Negeri Kelantan telah membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan “Kemakmuran Negeri, Kesejahteraan Rakyat”, dengan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion untuk dibelanjakan secara berhemah pada 29 Oktober 2018.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob telah menggariskan empat teras iaitu Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan dan Kesejahteraan, serta tujuh strategi pelaksanaan meliputi aspek pelaksanaan Syariah, galakan perniagaan dan keusahawanan, pelaburan dan peluang pekerjaan, pembangunan industri hiliran, menaiktaraf infrastruktur, peningkatan kebersihan dan keceriaan, serta penerusan program berkebajikan.

Terbaharu, Kerajaan Negeri Terengganu telah membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan “Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”, dengan peruntukan RM2.015 bilion untuk dibelanjakan secara berimbang pada 25 November 2018.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah menggariskan empat teras iaitu Keberkatan, Kemajuan, Kebajikan dan Kecekapan, serta lapan strategi pelaksanaan meliputi aspek pengukuhan prinsip Islam, pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi, pemantapan institusi keluarga, masyarakat berkebajikan, peningkatan kecekapan, serta peningkatan integriti dan ketelusan.

Menariknya, Bajet 2019 Negeri Kelantan dan Terengganu meletakkan aspek ‘Keberkatan’ sebagai teras utama pentadbiran kerajaan negeri, disusuli penumpuan terhadap pembangunan ekonomi yang inklusif dan pengukuhan nilai integriti, bagi merealisasikan hasrat menjadi model sebuah pentadbiran yang adil dan berkebajikan.

Dalam hal ini, Kelantan dan Terengganu wajar menjalin kerjasama bagi memanfaatkan kekayaan sumber asli yang berada di perut bumi dua negeri ini, di samping memanfaatkan tenaga pakar dan ilmuan yang lahir dari dua negeri bertuah ini.

Sudah pasti kedua-dua negeri ‘pembangkang’ ini bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Namun berkat kesungguhan dan kebijaksanaan, insya-Allah ekonomi negeri Serambi Mekah dan Madinah ini akan terus berkembang dengan penuh keberkatan.

Sampan jangan lama bertambat, nanti hilang segala manfaatnya;
Makan jangan lupakan rahmat, kelak hilang segala berkatnya.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
26 November 2018 – HARAKAHDAILY 26/11/2018

- Advertisement -