Acuan Islam vs acuan barat

nasrudin
- Advertisement -

ISLAM adalah agama wahyu. Bukan agama yang direka cipta oleh manusia. Ia datang daripada Tuhan yang mencipta sekalian makhluk.

- Advertisement -

Firman Allah swt:

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Itulah acuan Allah dan siapa lagi yang lebih baik acuannya selain daripada Allah swt. (Surah Al Baqarah: 138)

Kita menolak polisi dan prinsip Hak Asasi Manusia (HAM) PBB bukan kerana kita setuju diskriminasi kaum atau menolak kebebasan bersuara dan menuntut hak asasi.

Kita menolaknya adalah kerana polisi dan prinsip HAM itu mengikut acuan barat yang sebahagiannya bertentangan dengan polisi dan prinsip hak serta keadilan yang di kemukakan oleh Islam.

Keadilan Islam vs Keadilan Barat

4Mudahnya, prinsip keadilan dalam Islam adalah berasaskan kaedah “meletakkan sesuatu itu, biarlah kena pada tempatnya”.

(وضع شيئ في محله)

Berbeza dengan dengan acuan barat, keadilan bagi mereka ialah menyamaratakan atau menyamatarafkan kedudukan sesuatu.

Contoh senang lihat ialah bagaimana barat mengiktiraf LGBT atau perkahwinan sama jenis atas nama hak dan keadilan yang perlu diberikan kepada golongan itu untuk menjalani kehidupan pilihan mereka.

Sedang Islam menolaknya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan naluri manusia serta ia menidakkan maksud utama sebuah perkahwinan. Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda kekuasaanNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu pasangan (isteri) dari kalangan kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berfikir. (Surah Ar Ruum: Ayat 21)

Perkahwinan lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan bukan lahir dari fitrah manusia tetapi nafsu yang songsang. Namun barat memberi pengiktirafan kepada kesongsangan nafsu ini dan mengatas nama hak dan keadilan.

Hak Beragama

Begitulah jua hak beragama. Islam menghormati hak pihak lain dan Islam tidak boleh memaksa sesiapa jua memeluk ajaran Islam, justeru Islam mesti dianut dengan kerelaan dan penuh sedar serta tanggungjawab.

Namun penganut Islam tidak boleh meninggalkan Islam (murtad) melainkan terpaksa menghadapi tindakan syariah sebagaimana yang ditetapkan oleh Feqh Islami.

Meninggalkan Islam setelah yakin dan rela dengan keimanan kepada Allah swt adalah satu jenayah agama yang bakal berdepan tindakan berat.

Begitulah halnya (untuk mudah faham) seorang warganegara yang telah menyaksikan rukun negara, kemudian mengkhianati negara dengan membocorkan rahsia negara kepada pihak perisikan luar (sebagai contoh), maka tentunya pengkhianat itu akan dihadapkan hukuman berat dan setengah negara meletakkan hukum mati sebagai balasan setimpal.

Malangnya barat bersikap double standard dalam hal ini. Khianat negara hukumannya berat, tetapi khianat agama diletak nilai sebagai pilihan bebas penganutnya. Maka mereka menentang sebarang hukuman yang menghalang penganut Islam murtad.

Artikel ini saya kemukakan sebahagian contoh pertentangan antara dua (2) acuan, Islam dan Barat.

Sebagai sebuah negara dan rakyat yang merdeka. Usah biarkan cara hidup kita ditentukan oleh acuan barat.

Lemah dan kurang bagaimanapun, biarlah kita selesaikan bersama secara harmoni, saling menghormati dan melunasi peraturan yang ada tanpa perlu mendambakan campur tangan asing khasnya barat yang mempunyai agenda licik dan tersembunyi untuk menguasai umat Islam khasnya.

Terima Islam, Ummah Selamat

NASRUDIN HASSAN
18 Rabiul Awwal 1440 / 26 November 2018 – HARAKAHDAILY 26/11/2018

- Advertisement -