Misi Palu Kuat Palu Bangkit

- Advertisement -

KAMI melihat sendiri Palu ranap akibat gempa bumi dan diikuti tsunami. Betapa besarnya kuasa Allah yang menghantarkan air agar manusia mengambil iktibar. Walaupun pelbagai kisah negatif yang dibawa oleh penduduk di Palu sebelum kejadian bencana, namun kami melihat anak bangsa Palu mulai sedar.

- Advertisement -

Masjid-masjid darurat dibina ibarat cendawan selepas hujan. Tidak menang tangan Haji Jamuliddin Elias (Pak Jamu), Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia mengatur para penderma untuk membina masjid darurat. Dalam senarai yang beliau kemukakan setakat ini, hampir 200 buah masjid dalam proses pembinaan. Tiga puluh tiga masjid sudah terbina di seluruh Palu, Sigi dan Donggala.

Gempa bumi dan tsunami Sulawesi 2018 adalah berlaku dengan kekuatan 7.4 Magnitude diikuti dengan tsunami yang melanda pantai barat Pulau Sulawesi, Indonesia, bahagian utara pada 28 September 2018 jam 18.02 petang. Pusat gempa berada di 26 km utara Donggala dan 80 km barat laut kota Palu dengan kedalaman 10 km.

Gegaran dan goncangan gempa bumi dirasakan di Kabupaten Donggala, Kota Palu, Kabupaten Parigi Moutong, Kabupaten Sigi, Kabupaten Poso, Kabupaten Tolitoli, Kabupaten Mamuju bahkan hingga Kota Samarinda, Kota Balikpapan, dan Kota Makassar. Gempa tersebut menghasilkan bencana tsunami hingga ketinggian 5 meter di Kota Palu.

Laporan berita mengesahkan seramai 1,234 orang maut akibat gempa dan tsunami tersebut. Manakala 65,733 buah rumah atau bangunan musnah samada ditelan bumi ataupun runtuh. Dianggarkan beratus-ratus ribu mangsa terlibat dalam bencana alam yang terburuk pada dekad ini selepas tsunami di Aceh tahun 2004.

Tumpuan program yang kami lakukan adalah sekitar Kabupaten Palu, Poso dan Donggala. Merawat Palu yang pilu adalah tagline yang kami bawa. Rawatan kesihatan mental anak-anak Palu telah kami bawa bagi mengurangkan stres mereka setelah di pukul bencana.

Selain dari itu, dengan sejumlah derma yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia, kami agihkan kepada pembinaan masjid, kegunaan memasak para mangsa terlibat dan bantuan perubatan. Saya mewakili beberapa NGO seperti Papisma, Warga Cakna, Iman Care, KT Care dan KAMI mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan itu. Amanah sumbangan tersebut telah disempurnakan dengan jayanya.

Saya mula memahami kenapa nama Palu diberikan. Topalu’e yang ertinya tanah yang terangkat. Diberitakan dari sejarah bahawa daerah ini awalnya lautan, kemudian terjadi gempa dan pergeseran lempeng (palu koro) sehingga daerah yang tadinya lautan tersebut terangkat dan membentuk daratan lembah yang sekarang menjadi Kota Palu. Sejarah terakhir gegaran gempa yang berlaku di Sulawesi ini sekitar 90-an.

Oleh yang demikian sudah tidak jadi kepelikan bagi kaum yang veteran di sana merasai gegaran. Tetapi bagi golongan muda dan generasi baharu sudah mula lupa bahawa Sulawesi dan Indonesia keseluruhannya terdiri dari lingkaran merapi. Malah generasi muda tidak menyangka boleh berlakunya tsunami.

Sekali Allah beri peringatan kepada warga Sulawesi, boleh dibuat iktibar oleh semua umat bahawa Allah Maha Kuasa segalanya. Manusia adalah makhluk yang tiada daya, hanya kepadaNya kita semua berserah.

Kita mendoakan warga Palu kuat dan warga Palu bangkit dari musibah yang melanda ini. Kita akan terus membantu sekadar mampu untuk menyalurkan bantuan.

Dr Suhazeli Abdullah
Misi Kemanusiaan Palu
24.11.2018
Jalan Anggur Palu – HARAKAHDAILY 24/11/2018

pl1

pl2

- Advertisement -