Kini dia sindir Pak Lebai Berserban

- Advertisement -

SEKILAS ikan di air kami tahu jantan betinanya Syeikul Abim. Dato’ Seri (DS) pernah berkawan dengan kami dan pernah bermusuh dengan kami. Jadi kami sangat kenal DS. Dulu Pak lebai berserban berjela inilah yang duduk usung DS saat DS tiada tempat berpaut. Sewaktu DS ditendang keluar tingkap oleh bos sendiri. Pak lebai berserban berjela inilah yang datang memenuhi Stadium Sultan Muhammad KB beberapa hari selepas DS disingkir penuh hina oleh Mahathir. Pak lebai berserban inilah yang datang ramai-ramai agar DS rasa kuat dan bersemangat selepas satu persatu aib DS dibuka oleh teman-teman di dalam Umno era Mahathir.

- Advertisement -

Tak mengapa Syeikhul Abim. SunnatuLlah tidak berubah. Ia adalah Sunnah yang berulang. Siapa sahaja yang khianat terhadap teman dan sahabat-sahabat yang pernah melepaskan ia dari kepayahan pasti akan kembali diinjak hina. Ingat! Kehinaan kali kedua akan lebih dahsyat daripada kehinaan pertama. Allah telah memberikan DS ruang bertafakur. Ruang untuk DS kenal sahabat dan musuh. Namun DS gagal memetik iktibar dari takdirNya.

Allah lepaskan DS seketika agar DS tahu bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada teman yang pernah menolong mu saat DS kelelahan. Namun secarik sinar mentari yang memancar telah melalaikan DS sehingga DS lupa gelap malam yang pernah DS lalui. Tak mengapa Syeikh, hinalah kami, sindirlah kami penuh sinis dan berbuatlah sesukamu terhadap kami. Kerana kami yakin penghujung perjalanan sebuah kesombongan dan keangkuhan tidak pernah berakhir dengan kebaikan dan kemuliaan.

Syeikh, kami tak terasa apa pun dengan sindiran DS bahkan penghinaan DS sekalipun. Cuma kami terkilan kerana DS tidak pernah cuba untuk berubah. Sehingga kami merasa kasihan terhadap DS. DS boleh baca dan faham berbagai-bagai tulisan buku, namun DS gagal memahami bahasa takdir.

Jangan DS ingat kami lemah semangat dan sakit dengan serangan-serangan itu. Kami sudah sangat masak dengan berbagai serangan dan pengkhianatan. Kami sudah rasa manisnya perjuangan ini, apakah DS sudah merasai manisnya perjuangan DS?

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat –HARAKAHDAILY 24/11/2018

- Advertisement -