ICERD: PM lebih faham, kata Presiden PAS

- Advertisement -

MARANG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih memahami dengan kenyataan beliau mustahil untuk diratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.

- Advertisement -

“Saya rasa Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri lebih faham dalam perkara itu. Sebab itu, dia membuat kenyataan yang jelas. ICERD ini mustahil untuk dilaksanakan, mustahil itu tak bolehlah.

“Tapi, masih ada lagi yang hendak ‘jolok-jolok’ ini. ICERD ini agenda barat yang cuba hendak dibawa masuk ke dalam negara kita, yang kita mesti tentang,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mengulas kenyataan Lim Kit Siang bahawa 99 peratus muslim di negara Islam lain telah menerima ICERD, beliau berkata pemimpin DAP itu tidak berhak bercakap tentang orang Islam.

“Dia tak berhak cakap tentang orang Islam. Dia tak perlu ajar orang Islam dan orang Islam lebih ‘reti’ (tahu) daripada dia.

“Yang patutnya, orang Islam yang ada bersama dia ajar dia. Ini dia (Kit Siang) pula yang nak ajar orang Islam dalam Pakatan Harapan. Kenyataan Tun Mahathir itu lebih baik dan kita tak pakai kenyataan Kit Siang,” jelasnya kepada media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan umat Islam agar lebih berhati-hati kerana ICERD adalah agenda Freemason barat yang masuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – HARAKAHDAILY 23/11/2018

- Advertisement -