Selain ICERD jangan ratifikasi CAT juga

- Advertisement -

SAYA ingin memetik kenyataan YB Menteri Luar di Parlimen semalam bahawa kemungkinan 2 Konvensyen dari baki 6 Konvensyen Hak Asasi PBB, selain ICERD mungkin boleh diratifikasikan terlebih dahulu iaitu ‘Convention against Torture’ (CAT) atau Konvensyen Terhadap Penyeksaan dan ‘Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance’ (ICPPED).

- Advertisement -

Untuk makluman semua, Konvensyen CAT atau UNCAT telah dikuatkuasakan pada 26 Jun 1987 di bawah resolusi 39/46 oleh Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walaupun prinsip asas Konvensyen ini adalah sesuatu yang baik dalam mencegah penyeksaan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan termasuk layanan buruk serta hukuman terhadap manusia di seluruh dunia, saya ingin menzahirkan rasa kekhuatiran saya terhadap Konvensyen ini jika ia disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tertentu sebagai jalan untuk menghapuskan hukuman sebat yang telah diamalkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah di Negara ini.

Rasa kekhuatiran saya tercetus apabila saya meneliti kenyataan demi kenyataan dari pihak yang berkepentingan dalam soal Hak Asasi Manusia di Negara ini khususnya dari Suhakam dan Amnesty.

Pada 3 September 2018 yang lalu, Amnesty mengecam sebatan yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap 2 wanita di Negeri itu dan mendesak agar Konvensyen CAT diratifikasi. Malah pada 15 Ogos 2018, hukuman sebatan itu juga dianggap Suhakam sebagai satu percanggahan terhadap Konvensyen CAT selain mendesak agar Kerajaan memansuhkan kesemua undang-undang yang berkait rapat dengan hukuman tersebut serta mematuhi undang-undang antarabangsa.

Oleh kerana itu, saya ingin mencadangkan agar Konvensyen CAT atau UNCAT tidak diratifikasi lagi buat masa ini sehingga proses konsultansi awam dilaksanakan agensi Kerajaan yang berkaitan bersama-sama kesemua pihak yang berkepentingan dalam soal Hak Asasi Manusia.

HUZIR SULAIMAN
14 Rabiul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 22/11/2018

 

- Advertisement -