PAS akan tetap tuntut bela kezaliman Memali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangan PAS tidak berakhir sungguhpun ia menempuh kemuncak apabila para pemimpin dan ahlinya dibunuh terkorban syahid sebagaimana berlaku pada tragedi bersejarah peristiwa berdarah Memali.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia sebagaimana seruan Allah melalui ayat 144 surah Ali-Imran supaya beristiqamah meneruskan perjuangan Islam sekalipun Nabi Muhammad S.A.W mati terbunuh.

Jelas beliau, sebagaimana perjuangan Islam tidak terhenti dengan kewafatan Rasulullah, seperti itulah perjuangan PAS juga tidak terhenti dengan terkorbannya as-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabatnya kerana dizalimi.

Tegasnya, PAS tidak akan sekali-kali menghentikan majlis memperingati peristiwa tersebut, sebaliknya mahu ia terus mekar dalam fikiran generasi muda untuk menjadi semangat meneruskan kesinambungan perjuangan Islam.

Menurut beliau, peringatan kali ke-33 itu dilaksanakan atas prinsip-prinsip demokrasi kebebasan bersuara di mana menjadi kewajipan kepada rakyat khususnya penduduk di Kampung Memali terhadap tragedi itu.

“Untuk mempersoalkan, untuk menyatakan, untuk menimbulkan kekeliruan-kekeliruan yang berlaku daripada siasatan peristiwa ini. Dan sebagai umat Islam, kita menganggap peristiwa ini adalah satu kezaliman yang mesti dicegah, didedahkan, ditegakkan keadilan supaya mereka yang terkorban itu dibersihkan daripada segala tuduhan-tuduhan yang jahat.

“Apa yang kita lakukan pada hari ini adalah usaha untuk menuntut keadilan. (Tetapi) Kita tidak tahu bagaimanakah penghujungnya. Adakah asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya akan dibersihkan nama mereka, mendapat hak mereka yang sebenar?

“Walaupun jika sekiranya perkara itu tidak dapat ditunaikan di atas dunia ini, kita sebagai umat Islam yang beriman kepada hari akhirat, di sana ada mahkamah satu lagi di hari akhirat yang akan diselesaikan oleh Allah S.W.T perkara-perkara yang belum selesai di atas dunia ini,” ujarnya pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam kelmarin.

Beliau turut melontarkan peringatan terhadap pihak yang telah melakukan kezaliman itu dengan memetik ayat 42 surah Ibrahim bahawa Allah tidak leka kepada orang zalim, bahkan memanjang umur mereka untuk memberi ruang taubat.

Namun ayat tersebut bacanya mengingatkan, mereka itu akan kembali jua kepada Allah di Hari Akhirat dan menyaksikan azab di hadapan mata dengan mata terbeliak. – HARAKAHDAILY 22/11/2018

- Advertisement -