Medan muhasabah muslimat rabbani

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Kehadiran Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ke Gelombang AKIFI 11.0 di Taman Teluk Air Tawar Indah, semalam amat dinanti-nantikan oleh muslimat PAS Pulau Pinang.

- Advertisement -

Gelombang Munajat AKIFI merupakan medan muslimat rabbani bermuhasabah, dengan meletakkan penyerahan diri kepada Allah dengan memohon keampunan dan memuji Allah yang merupakan antara syarat kemenangan dalam perjuangan.

Semasa sesi taujihat, Ustazah Nuridah telah menekankan kepentingan momentum munajat yang perlu diteruskan bahkan perlu lebih aktif untuk berhadapan dengan kerosakan demi kerosakan yang ditimbulkan oleh Pakatan Harapan yang saban hari semakin membimbangkan.

“Doa itu adalah senjata mukmin. Hal ini perlu dipandang berat oleh kita untuk terus istiqamah merangka program munajat tanpa wujud pemikiran bahawa telah tamat program munajat selepas selesai PRU14,” kata beliau.

Ustazah Nuridah turut mencadangkan setiap kawasan dan cawangan merangka jadual giliran program munajat agar program ini akan dapat dijalankan sepanjang masa di seluruh negeri.

Beliau memberikan motivasi dengan memetik contoh Gelombang AKIFI kali pertama yang telah dijalankan di Dun Bayu pada tahun 2015 yang hasilnya Dun yang belum pernah menang ini telah berjaya ditawan oleh PAS dalam PRU14.

“Kita perlu membina kekuatan dengan munajat kerana musuh sentiasa merancang untuk mengikat umat Islam daripada melakukan tuntutan Islam,” kata beliau yang turut menekankan usaha memastikan semua ahli PAS terlibat dengan usrah.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang Ustazah Hasanah Idrus dalam ucapannya mengingatkan muslimat agar istiqamah dengan qiamullail untuk memohon kekuatan dan memantapkan perjalanan dengan merintih di sepertiga malam.

Beliau turut berpesan kepada umat terakhir yang dirindui baginda Rasulullah SAW supaya sentiasa berpegang dengan Al-Quran agar tidak akan sesat.

Terdahulu pada sebelah petang, Ustazah Nuridah bersama rombongan AJK DMPM yang disertai Kartini Ahmad dan Nuri Muhammad telah berkesempatan menjalankan ziarah kebajikan kepada dua buah keluarga di sekitar Dun Teluk Air Tawar.

Majlis turut diserikan dengan sesi ‘tahnik’ oleh Ustazah Nuridah kepada beberapa orang bayi bertuah seusai solat hajat, bacaan Yaasin dan munajat. – HARAKAHDAILY 23/11/2018

- Advertisement -