MP PAS minta penjelasan Lebuhraya KB-KK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman meminta penjelasan mengenai beberapa pakej yang tidak disebut oleh Menteri Kerja Raya berkaitan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK).

- Advertisement -

Beliau mempersoalkan bilakah projek atau pakej tersebut akan dimulakan, yang telah siap atau yang belum dimulakan lagi.

“Saya difahamkan antara laluan Machang ke Berangan Mek Nab sekitar 10 km telah dibina oleh kerajaan negeri yang dinamakan sebagai Lebuhraya Rakyat.

“Adakah jalan tersebut termasuk dalam jajaran yang sama yang telah disebut oleh Yang Berhormat Menteri Kerja Raya,” soal beliau yang mencelah penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut membangkitkan mengenai ucapan Perdana Menteri dua minggu lepas yang menyebut khusus tentang Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai tetapi tidak terdapat dalam bajet kali ini.

“Jika tadi Yang Berhormat sebut mungkin akan dimasukkan dalam RMK ke seterusnya, jadi apakah kesudahan yang disebut dalam KSP tersebut,” tambah beliau.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pihak kementerian mengambil serius akan hal itu kerana ia satu projek yang penting.

Katanya, pihak kementerian akan memberi perhatian terhadap projek itu dan sudah dimaklumkan bahawa ia tertakluk kepada kemampuan kewangan negara.

“Pihak kami masih belum dapat memastikan lagi masa yang tepat tetapi kami akan mengangkat hal ini dalam rancangan yang akan datang mengikut keutamaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2018

- Advertisement -