Masyarakat bukan Islam dinasihat tolak ICERD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat bukan Islam dinasihat tidak menyokong cadangan ratifikasi ICERD yang merupakan agenda untuk membuang Islam serta hak-hak Melayu dan Bumiputera di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya mencabar dan bersikap tamak terhadap orang Islam, Melayu dan Bumiputera yang telah berkorban untuk mereka.

Jelas beliau, orang Islam, Melayu dan Bumiputera telah berjuang membebas dan memerdekakan negara ini, sedangkan masyarakat Cina dan India dibawa oleh penjajah tanpa mereka melakukan pengorbanan seumpama.

Menurutnya, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan lain-lain lagi telah mati dibunuh gugur syahid, dibuang negeri dan dipenjarakan demi untuk memastikan tanah watan, tanah air ini merdeka. 

Beliau mengemukakan betapa Islam di sepanjang sejarahnya telah menjamin kehidupan aman damai bersama masyarakat bukan Islam, sebagaimana juga ditunjukkan Baginda Rasulullah S.A.W dalam majoriti bukan Islam di Madinah.

“Sepanjang sejarah pemerintahan Islam, lebih daripada 1300 tahun, masyarakat bukan Islam yang berbagai bangsa dan kaum, mereka hidup aman, Islam tidak menzalimi mereka,” ujarnya pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam tadi.

Kerana itulah tegasnya, PAS menegakkan perjuangan Islam demi menyelamatkan seluruh umat dan negara, setelah pula dunia menyaksikan segala agama dan isme selain Islam gagal untuk menyelesaikan masalah manusia.

Senarai beliau, Demokrasi, Sosialisma, Komunisma, Liberalisma, Kapitalisma dan pelbagai lagi nyata gagal untuk menyelesaikan masalah politik, ekonomi, moral dan akhlak, sebaliknya semua telah runtuh musnah. 

“Begitulah juga isme Nasionalisma perkauman. Berapa lama kita dengar semangat perkauman Melayu, semangat kebangsaan Melayu, adakah boleh menyelamatkan Melayu? Tidak. Yang boleh menyelamatkan Melayu ialah Islam. Maka di sinilah, marilah bersama-sama kita kembali kepada Islam.

“Kembali kepada manhaj ajaran Islam sebenar yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Itu tujuan utama. Kita letakkan satu keazaman di dalam diri bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS ini menjadi tanggungjawab kita semua. Bukan sahaja tanggungjawab golongan awal termasuk asy-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya yang telah meninggalkan kita. 

“Meneruskan perjuangan mereka. Maka hari ini perjuangan belum selesai. Menjadi kewajipan kita untuk meneruskan perjuangan ini di atas manhaj wasatiyah yang dibawa oleh PAS. Kita teruskan pendekatan ini. Kita sebarkan ajaran Islam. Tegakkan Islam dengan hujah dan bukti.

“Kita nak tarik seramai orang bersama-sama dengan Islam kerana Islam adalah satu-satunya agama yang boleh menyelamatkan kita umat Islam dan menyelamatkan seluruh manusia di atas dunia ini khususnya di negara kita ini,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 21/11/2018

- Advertisement -