Perutusan Maulidur Rasul PAS Kedah

- Advertisement -

KEDATANGAN bulan Rabi’ulawal lantas mengingatkan kita kepada kemunculan manusia agung ke alam semesta ini, iaitulah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

- Advertisement -

Kelahiran insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah SAW telah menyebabkan denyut nadi dua tamadun besar dunia iaitu Rom dan Parsi, terhenti seketika. Alam dan seluruh isinya berbahagia meraikan kedatangan manusia yang bergelar Kekasih Allah.

fakhrudinBaginda yang dipilih oleh Allah SWT sebagai pesuruh-Nya yang terakhir, benar-benar berjaya mengubah tamadun dunia; dari kegelapan manusia mengabdikan diri sesama manusia serta isme ciptaan manusia kepada kebebasan mutlak, lalu hanya tunduk dan patuh kepada Maha Pencipta iaitu Allah SWT. Budaya jahiliah berjaya diruntuhkan dan tamadun Islam berjaya ditegakkan, meskipun Rasulullah SAW dihadapkan dengan tribulasi yang sangat perit sebelum memperolehi kejayaan.

Ketinggian akhlak dan keluhuran pekerti Rasulullah SAW menjadi suri teladan (role model) bagi umat manusia seluruhnya. Kenyataan ini disahkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Qalam ayat 4 yang membawa maksud: “Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Hari ini setelah lebih 1,400 tahun Rasulullah SAW pergi meninggalkan kita, Islam yang diperjuangkan baginda telah berkembang seantero pelosok dunia, sehingga kita juga dapat menerima Islam. Islam menjadi agama terbesar dunia yang masih diamalkan.

Namun setelah begitu jauh baginda Nabi Muhammad SAW pergi meninggalkan kita, cabaran terhadap Islam datang dalam pelbagai bentuk. Bahkan kemurnian Islam itu sendiri telah diubahsuai serta dijenamakan dalam pelbagai versi, sehingga menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Berhubung kecelaruan ini Rasulullah SAW telah mengingatkan kita melalui sabdanya (bermaksud): “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada keduanya, iaitulah kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Kehadiran bulan Rabi’ulawal sudah sinonim dengan sambutan Maulidur Rasul yang antara pengisiannya ialah menyorot kembali riwayat kehidupannya serta jejak perjuangannya. Namun selawat yang kita laungkan dan ingatan mekar terhadap baginda tidak harus terhenti di bulan ini sahaja, bahkan mesti berterusan selamanya. Kerana Rasulullah SAW adalah sumber rujukan kita sepanjang kehidupan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Salam Maulidur Rasul.

“Islam Memimpin”

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
12 Rabiul Awal 1440 – HARAKAHDAILY 20/11/2018

- Advertisement -