Pertikaian yang patut Nik Nazmi lontarkan

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada kenyataan YB Nik Nazmi Nik Ahmad mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat di dalam Kongres Nasional Keadilan Kali ke-13 yang menyatakan “Apa gunanya bangga dipanggil Serambi Makkah tapi duk tebang hutan”.

- Advertisement -

Saya ingin menarik perhatian semua pihak terhadap sumbangan Negeri Kelantan dalam kepentingan hutan kepada negara.

Felo Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan, Dr Mohd Yunus Zakaria pernah melaporkan, tanpa diambil kira kawasan berhutan di Kelantan, Malaysia tidak mampu mempertahankan kawasan berhutan sebanyak 50 peratus.

Daripada jumlah keluasan kawasan berhutan di Malaysia, Kelantan menyumbang sebanyak 23 peratus.

Data ini diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada persidangan yang telah diadakan di Brazil dan Denmark.

Manakala Kerajaan Negeri Kelantan terus konsisten dalam mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CCT) yang telah ditetapkan. Data keluasan Hutan Simpanan Kekal juga membuktikan keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Kelantan menjaga kepentingan hutan, sebagaimana rekod berikut:

Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan:

1960 –     251, 229 hektar

1970 –     238, 952 hektar

1980 –     230, 790 hektar

1990 –     626, 372 hektar (Bermulanya Era Kepimpinan Ulamak PAS)

2000 –     629, 687 hektar

2010 –     623, 849 hektar

2014 –     623, 849 hektar

Saya percaya adalah lebih baik YB Nik Nazmi Nik Ahmad dalam usaha bersama menjaga kepentingan hutan negara, dapat mempengaruhi Kerajaan Pakatan Harapan supaya segera membuat pembayaran royalti petroleum serta menyalurkan segera peruntukan khas kepada Kelantan bagi mengurangkan pergantungan hasil negeri daripada sumber pembalakan.

Sebagai anak jati Kelantan adalah lebih lunak sekiranya beliau mencadangkan agar dihapuskan semua aktiviti pembalakan di negara ini. Hasil daripada industri pembalakan yang hilang daripada kantung Kerajaan Negeri akan dibayar Kerajaan Pusat sebagai sebuah insentif. Kalau ini yang beliau ucapkan, pasti saya orang pertama akan tampil bersetuju.

Saya juga menyambut baik saranan YB Wong Chen agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membolehkan alam sekitar diuruskan dengan lebih baik untuk kepentingan bersama.

Maka apa gunanya bangga dipanggil Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, jika peruntukan kepada Negeri Kelantan Serambi Makkah terus disekat.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 20/11/2018

- Advertisement -