Mentaliti lapuk Maszlee larang MP masuk sekolah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Reformasi institusi dan sistem sebagaimana dilaungkan PH hanyalah retorik semata-mata di mana ianya terhalang oleh mentaliti lapuk pemimpin komponen tersebut.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, walaupun telah menjadi kerajaan, namun perubahan yang diuar-uarkan selama ini tidak menjadi kenyataan.

Beliau membidas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengarahkan Ahli Parlimen Pembangkang untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum menghadiri sebarang program di sekolah kerajaan.

“Beliau masih membawa pemikiran lama, bahkan lebih teruk daripada kerajaan terdahulu hingga mengeluarkan arahan seperti itu. Pemikiran yang begini amat merugikan.

“Paling utama, rakyat merasa tertipu kerana masih tiada perubahan dibuat sepertimana dijanjikan sebelum PRU14 walaupun mandat sudah diberi. Sedangkan rakyat berjiwa merdeka mahu kepada perubahan.

“Saya yakin ramai dalam kalangan Menteri masih berhasrat mengadakan reformasi serta perubahan dalam masyarakat. Namun ada beberapa Menteri dalam kerajaan baharu, pemikiran masih lama,” ujarnya mengulas larangan itu.

Katanya, Ahli Parlimen selaku pemimpin sepatutnya boleh memberi nasihat, dorongan dan motivasi serta dukungan ke arah kebaikan kepada para pelajar, tetapi dihalang seperti itu.

Menurut beliau, hal sama berlaku kepada mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memasuki sekolah Kerajaan Persekutuan di negeri itu sepanjang pentadbirannya.

“Kita bukan mahu masuk (ke sekolah) membawa bendera PAS, tapi memberi motivasi, peruntukan dan mungkin hadiah kepada pelajar,” ujar beliau yang juga merupakan Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Maszlee dalam penegasannya mengenai perkara itu mengingatkan Ahli Parlimen Pembangkang terhadap pekeliling yang sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Pendidikan Negeri. – HARAKAHDAILY 20/11/2018

- Advertisement -