Laporan situasi hak asasi negara ke PBB

- Advertisement -

BARU selesai baca Laporan Kebangsaan yang dihantar wakil Kerajaan (Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negeri) untuk tempoh Mac 2013 sehingga Mac 2018 kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Persidangan Universal Periodic Review (UPR) atau Kajian Berkala Universal yang dianjurkan baru-baru ini pada 8 November 2018.

- Advertisement -

Tujuan laporan ini dibentangkan ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB adalah bertujuan untuk menjelaskan hasil dari sesi UPR yang lalu terhadap kesemua cadangan yang telah diterima oleh Kerajaan, cabaran ketika usaha-usaha promosi dan perlindungan Hak Asasi Manusia di Malaysia.

Kesemua cadangan UPR yang telah diterima Kerajaan telah diklasifikasikan kepada 7 ‘cluster’ atau kategori. Antaranya ialah:

1.      Obligasi Antarabangsa.

2.      Hak Politik dan Sivil.

3.     Hak Ekonomi, Sosial, Budaya, serta Orang Asli.

4.     Wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

5.     Pekerja asing, pelarian, pencari suaka dan TIP.

6.     Mekanisme kebangsaan mengenai hak asasi manusia.

7.     Cadangan am, kerjasama antarabangsa, pendidikan dan latihan dalam hak asasi manusia, perpaduan negara dan perpaduan sosial.

Laporan ini juga dikatakan satu bukti penegasan semula komitmen Kerajaan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk terlibat secara konstruktif dalam proses UPR.

Kerajaan juga dilaporkan mengambil berat ke atas kesemua komen dan pandangan dari pihak berkepentingan dalam soal hak asasi manusia, antaranya dari Organisasi Sivil dan Suhakam.

Kerajaan juga dilaporkan akan terus mengawasi dan memantau pelaksanaan kesemua cadangan yang diterima dari sesi UPR yang lalu agar Malaysia dapat memenuhi obligasi antarabangsa dalam mempromosi dan melindungi Hak Asasi Manusia kepada kesemua rakyatnya.

Perincian 7 cluster atau kategori dalam laporan situasi Hak Asasi Manusia di Negara ini akan saya bentangkan kemudian dalam tulisan saya yang lain.

Adalah menjadi satu kewajipan untuk kita memahami isu ICERD melalui keempat-empat (4) dokumen yang diterbitkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB ini dan kenapa Kerajaan Pakatan Harapan melalui Menteri Perpaduan malah Menteri Luar dilihat bersungguh-sungguh mahu meratifikasikan ICERD dan 5 triti Hak Asasi Manusia yang lain menjelang Suku Pertama 2019 walaupun Kerajaan lama setelah sekian lama ditekan, masih tidak meratifikasikan baki keenam-enam triti tersebut termasuklah ICERD.

Saya baru selesai menilai satu dokumen tersebut, insyaAllah bersama-sama sahabat yang lain, kami akan segera merumuskan tiga dokumen yang lain agar Rakyat dapat mendepani isu ratifikasi triti Hak Asasi Manusia PBB ini dengan lebih konstruktif dan agresif sebelum Himpunan Bantah ICERD yang dijadualkan pada 8 Disember 2018 ini di Kuala Lumpur.

HUZIR SULAIMAN
12 Rabiul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 20/11/2018

- Advertisement -