Kerajaan lama tidak mulakan ICERD

- Advertisement -

ICERD adalah Konvensyen di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ia bukan Konvensyen yang dimulakan atau dibentuk oleh mana-mana Kerajaan yang memerintah di Negara ini hatta semenjak zaman Kemerdekaan lagi.

- Advertisement -

Konvensyen ini dikuatkuasakan oleh PBB semenjak 4 Januari 1969. Ia dibentuk agar dasar dan polisi setiap Negara di dunia ini dapat diselarikan dengan dasar atau prinsip-prinsip Universal Hak Asasi Manusia yang terdapat di dalam Konvensyen PBB itu tanpa mengambil kira aspek Kaum, Warna Kulit, Kumpulan Etnik, Jantina, Bahasa mahupun Agama.

Adalah menjadi satu kebiasaan oleh mana-mana Kerajaan yang memerintah, lebih-lebih lagi buat sebuah Kerajaan seperti Malaysia yang sudah menganggotai atau menjadi ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ini semenjak 17 September 1957, dan pernah menjadi ahli di dalam Majlis Hak Asasi PBB (2006-2009) dan (2010-2013), apabila dasar atau polisi luar seperti ICERD (termasuk baki 5 Konvensyen lain) diminta oleh PBB agar Kerajaan yang memerintah meratifikasi dan melaksanakan dasar atau polisi luar itu di dalam Negara ini, Kerajaan yang memerintah akan mengarahkan Kementerian dan Agensi yang berkaitan untuk melaksanakan satu kajian impak terlebih dahulu agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan Norma Budaya Rakyat di Negara ini sebelum Kerajaan yang memerintah mengumumkan pendirian dan keputusan mereka sama ada sedia ataupun tidak untuk mengguna pakai dasar luar seperti ICERD itu di dalam Negara ini.

Oleh kerana itu, tuduhan bahawa Kerajaan lama adalah pihak yang memulakan ICERD adalah tuduhan tidak berasas sama sekali.

Kenapa Kerajaan lama tidak menyeru rakyat agar berdemonstrasi membantah Konvensyen ICERD dari PBB ini ketika mereka berkuasa? Jawapan yang mudah adalah, mereka sudah berkuasa ketika itu dan dengan kuasa yang mereka ada, mereka mengambil keputusan untuk tidak meratifikasikan baki keenam-enam Konvensyen yang masih belum diratifikasi termasuklah ICERD walaupun ditekan pelbagai pihak termasuklah dari mantan Pengerusi Suhakam sendiri. Mohon pihak-pihak yang berkenaan merujuk kenyataan mantan Pengerusi Suhakam pada 8 Disember 2016 yang mendesak Kerajaan lama agar meratifikasikan baki 6 triti Hak Asasi PBB itu.

HUZIR SULAIMAN
13 Rabiul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 21/11/2018

- Advertisement -