Ihtifal PASTI Titiwangsa rai guru dan pelajar

- Advertisement -

TITIWANGSA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa telah meraikan para guru dan murid PASTI kawasan itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan yang diadakan di Wisma Sejarah, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Dalam majlis ihtifal dirasmikan Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairol Anuar Abd Manap itu, beliau memuji usaha pendidikan adab dan agama yang diterapkan para guru ke atas anak-anak PASTI.

“Interaksi interpersonal yang diterapkan sewaktu mereka belajar, bukan sahaja di antara murid dengan guru, atau murid dengan bahan pembelajaran, tetapi yang lebih penting interaksi sesama sendiri.

“Adab dan tatacara sewaktu interaksi dan komunikasi turut sama diutamakan dan mereka dididik agar dapat berhubung sesama manusia dalam suasana aman, beradab dan berkemanusiaan,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Titiwangsa, Ustaz Abdul Rahman Hamzah pula dalam ucapannya menyentuh soal impian untuk membentuk anak-anak tersebut sebagai pelapis kepimpinan ummah dan negara.

Beliau mengingatkan mengenai kealpaan dan kelekaan terhadap anak-anak di zaman ini boleh membawa kehancuran kepada kehidupan dan negara di masa depan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan para pelajar seperti sajak, nasyid dan kalam jamaie serta penyampaian hadiah kecemerlangan mengikut kategori.

Pada majlis sama juga turut disampaikan diploma kepada para guru yang telah bergraduasi Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, selain majlis juga diwarnai pelbagai gerai jualan. – HARAKAHDAILY 21/11/2018

IMG 20181121 WA0001

- Advertisement -