DI AMBANG tirai tahun 2018 ditutup, satu lagi pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan iaitu di Dun Rantau, Negeri Sembilan justeru kemenangan tanpa bertanding mantan Menteri Besar Mohamad Hasan dalam PRU14 dulu diisytihar tidak aci oleh mahkamah.
Kes itu telah diketahui oleh semua. Maka PRK Rantau ini menutup siri PRK tahun 2018 yang dikira tahun PRK terbanyak negara sejak merdeka. Ia tidak termasuk ibu segala pilihan raya PRU14 yang menumbangkan empayar Umno/Barisan Nasional selama 61 tahun.
Sekalipun dengan PRK Rantau nanti 2018 dikira rekod PRK setakat ini, tetapi mungkin rekod itu tidak lama, kerana bayangan PRK untuk tahun berikut 2019 tersedia senarai beberapa pilihan raya kecil secepat mana mahkamah menyelesaikan dakwaan sudah ada setakat ini.
Beberapa MP BN sudah didakwa iaitu di Pekan, Bagan Datuk, Baling, Putrajaya, Kangar dan satu Adun Sabah membabitkan bekas Ketua Menteri.
Ini tidak termasuk siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM yang mungkin akan diketahui tahun depan.
Ia setakat membabitkan siasatan SPRM dan aduan jenayah. Belum termasuk yang mungkin mati atas apa-apa sebab jua dan lain-lain perkara yang tidak dijangka. Maka politik kita tahun depan akan dipenuhi dengan siri PRK.
Maka PAS dan Umno sekarang ada jalinan untuk berdua bagi menghadapi politik masa depan wajarlah bersedia dengan kemungkinan PRK itu.
Rata-rata kes SPRM iaitu rasuah dan skandal, maka mahkamah menanganinya sesegera mungkin agar politik dapat dikeluarkan dari kegelapan politik tidak bermoral dan penyelewengan. Tindakan pantas dan pintar mahkamah dapat membantu orang yang didakwa tidak lama mengalami tekanan emosi dan lain-lain kekangan.
Yang didakwa itu belum bersalah selagi tidak ditentukan oleh mahkamah. Jika mereka didapati tidak bersalah, maka mereka segera lepas dari tekanan emosi dan boleh dengan bebas menjalankan kehidupan biasa dan agar orang tidak bersangka apa lagi tentang mereka.
Jangan jadi macam kes Ketua Menteri Pulau Pinang, justeru ia tidak ditangani segera, apabila perubahan politik berlaku, maka kita tidak dapat melihat yang didakwa dapat membersihkan namanya melalui mahkamah.
Mula-mula kesnya dikatakan bermotif politik. Mahkamah tidak sempat membersihkan nama baiknya secara undang-undang, apabila perubahan kerajaan dan politik tidak meneruskan perbicaraan. Maka ia dikira dibebaskan secara politik.
Oleh kerana politik kini tidak menentu, perubahan boleh berlaku bila-bila, maka semua kes wajar disegerakan supaya tiada kes tidak diteruskan oleh perubahan politik.
Melihat kepada perubahan politik dan pengaruh perkembangan yang berlaku, payah mengagak PRK Rantau tidak dipengaruhi oleh perubahan itu.
Dalam semua PRK pasca PRU, Pakatan Harapan jadi macam Umno/BN sebelum PRU14 dan Umno yang berkuasa dulu sudah jadi macam pembangkang dulu. Dulu Umno payah kalah dan pembangkang payah menang. Dalam semua PRK 2018 sebelum ini, pembangkang yang jadi kerajaan sekarang payah kalah dan Umno/BN pula payah menang.
Tidak dapat dijamin bekas MB yang bertanding di kubunya dulu boleh mempertahankan Dun Rantau itu. Dia punya nama baik di situ dan Parlimennya Rembau adalah Khairy Jamaluddin yang ada nama dan pengaruh besar dalam Umno. Apakah pengaruh keduanya dapat mengekalkan kemenangan Tok Mat?
Pengaruh Umno sudah tidak menentu di mana-mana. Tetapi PH kini paling tidak popular selepas enam bulan berkuasa. Ia defensif oleh isu ICERD yang dikira penjelmaan semula Malayan Union dan bajet 2019 yang berbau diskriminasi bagi bumiputera? Apakah ia tidak mengubah politik 2018? – HARAKAHDAILY 20/11/2018