ICERD yang ‘Absurd’

- Advertisement -

ADA yang sokong ada yang minta bincang dan ada yang tolak. Demikianlah kalau nak diharapkan pada pimpinan PH.

- Advertisement -

Soalnya perlukah Malaysia beri ratifikasi pada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sedang di sini tiada diskriminasi seumpama itu sebagaimana di Israel, Myanmar, Negara China, Rusia dan lain-lain.

Status sosial yang ada dalam negara hari ini dibentuk di ambang kemerdekaan negara atas persetujuan dan konsensus semua. Ia dibentuk dengan rela tanpa mana-mana pihak dipaksa. Yang lebih merela dan berkorban sesungguhnya adalah orang Melayu yang merupakan penduduk asal tanah air.

Demi menebus kemerdekaan dari penjajah penduduk asal Tanah Melayu berkompromi hak dan ketuanan mereka dengan menerima kaum pendatang ketika itu sebagai warganegara.

Tiba-tiba hari ini dengan dominasi kuasa politik beralih ke bukan Melayu Malaysia mahu dipaksa menandatangani ICERD.

Kalau ada diskriminasi kaum di sini masakan kuasa politik boleh dipegang golongan minoriti?!

Cukup-cukuplah membawa tuntutan yang menguji kesabaran golongan majoriti yang selama ini cukup toleran dan bertolak-ansur.

Di sini tiada diskriminasi kaum.

Agama Islam sudah disepakati sebagai agama Persekutuan, anut dan amallah agama lain tetapi status Islam jangan diganggu, jangan sebar agama lain pada penganut Islam.

Raja-raja Melayu simbol peradaban Melayu dan agama Islam. Kuasa mereka sudah disepakati jangan diganggu, dipertikai dan digugat.

Orang Melayu dan Bumiputera diberikan hak istimewa kerana mereka penduduk asal dan sejak Merdeka walaupun majoriti namun ketinggalan serba-serbi dan perlu dipimpin untuk bersama dengan kaum lain dari sudut ekonomi dan pendidikan.

Ini bukan diskriminasi tetapi janji yang telah disepakati kerana itu yang bukan Melayu berkongsi tanah air di sini.

Lalu di mana ada diskriminasi sehingga kita perlu anut ICERD ini?

Apakah tanpa memberi ratifikasi pada ICERD maka kita bakal dipulau dan sekatan ekonomi dikenakan atas kita oleh negara lain?

Tiada sesiapa dari luar yang mendesak dan mengancam kita pun. Yang bernafsu adalah pimpinan parti tertentu yang mahu menjayakan agenda politik Malaysian Malaysia mereka yang ternyata selari dengan ICERD.

Mahukah kita robohkan status quo yang ada kerana mengikut agenda mereka?

Janganlah kita korbankan saki-baki hak dan kedudukan yang masih ada pada kita ini dan akhirnya merempat di bumi sendiri.

Bersatulah kita semua. Katakan tidak pada ICERD. Malaysia tidak perlukan ICERD. – HARAKAHDAILY 17/11/2018

 

- Advertisement -