ICERD lebih besar dari politik parti

- Advertisement -

UNTUK mobilisasi bantahan ICERD yang lebih efektif, saya cadangkan supaya kita memikirkan untuk tidak melibatkan jenama parti.

- Advertisement -

Kita perlu menerima hakikat bahawa ramai yang tidak setuju dengan ICERD terutama orang Islam dan orang Melayu, tetapi dalam waktu yang sama, mereka masih tidak boleh menerima PAS.

Gunakan model himpunan RUU355 dan koalisi NGO Ummah yang lebih neutral. Walaupun hakikatnya pendukung PAS masih menjadi penggerak utama, tetapi watak yang dimainkan lebih mudah diterima kerana mampu membezakan topi institusi secara profesional.

Rasanya tidak menjadi masalah jika kita melakukan bantahan tanpa membawa bendera parti. Bahkan ia lebih mudah untuk menarik orang untuk turut menyertai.

Jangan terlalu cepat menyalahkan Umno atau pihak lain yang tidak mahu turut serta dalam bantahan yang kita anjurkan, sekiranya kita sendiri menggambarkan himpunan ini seolah ekslusif untuk PAS sahaja.

Dalam waktu yang sama, penganjur perlu bertegas dengan konsep ummah mengatasi sektarian ini. Pastikan pihak lain sama ada parti mahupun NGO lain tidak mengambil kesempatan atas himpunan ICERD untuk meraih mileage mereka. Jika ada berlaku, penganjur tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

Jika setiap pihak dibenarkan membawa lambang masing-masing, akan berlaku persaingan tidak sihat terutama dari sudut membandingkan jumlah bendera dan dominasi himpunan. Impresi pertama juga akan terbentuk di kalangan orang awam lain: apakah ia himpunan atau perarakan penamaan calon?

Pendekatan isu ummah mengatasi kepentingan parti ini sebenarnya salah satu daripada kriteria BPMS iaitu yang ke lima, “politik utamakan rakyat”. Jika sekiranya mengabaikan kepentingan parti perlu dilakukan demi menjaga kepentingan rakyat yang lebih besar, maka ia perlu dilakukan. Seperti sikap kita berkecuali dalam Parlimen kita undian bajet. Walaupun secara politiknya PAS akan rugi kerana akan dilihat membantu BN, tetapi demi rakyat terutama penjawat awam yang akan terjejas sekiranya bajet ditolak, maka kita awlakan mereka.

Secara siasah nafas panjang pula, langkah ini insyaAllah akan menguntungkan PAS jua. Bak nasihat al-Marhum Tok Guru Nik Aziz, bila kita cerita dan tunjukkan Islam yang betul, insyaAllah orang akan bersama PAS tanpa perlu tonjolkan PAS.

Ini juga yang saya belajar dari Tuan Guru Ayah Chik. Hampir 50 tahun berkuliah Jumaat di Masjid Rusila, beliau langsung tidak menjadikan masjid itu sebagai medan berpolitik kepartian. Hanya cerita tafsir, sirah, akidah dengan kefahaman yang lurus. Hasilnya, kuliah Jumaat itulah yang mampu melahirkan kader-kader dakwah PAS di seluruh pelosok negara.

Mohon mencadang,
(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 17/11/2018

 

 

- Advertisement -